Isnin, 24 Jun 2019 | 3:35pm
MENTERI Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Zuraida Kamaruddin, beramah mesra dengan orang ramai pada Majlis Jalinan Mesra Menteri dengan warga JBPM sempena Majlis Sambutan Hari Raya di Putrajaya, hari ini. - Foto Ahmad Irham Mohd Noor

Lebihan bahan toksik Sungai Kim Kim dipercayai punca pencemaran baharu

PUTRAJAYA: Kejadian sesak nafas membabitkan pelajar dan murid beberapa sekolah sekitar Pasir Gudang, Johor sejak Khamis lalu, dipercayai berpunca daripada sisa bahan kimia dari kes pencemaran Sungai Kim Kim pada Mac lalu yang tidak diurus dengan baik.

Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Zuraida Kamaruddin, berkata siasatan awal mendapati bahan kimia daripada sisa toksik diserahkan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) kepada kontraktor pembersihan dalam kes di Sungai Kim Kim, tidak dilupus sepenuhnya.

“Kita dapati bahan pencemaran yang dikenal pasti semasa kes Sungai Kim Kim yang telah diserahkan kepada kontraktor untuk dibersihkan, masih belum dihapuskan 100 peratus, terbiar di Pasir Gudang.

“Bahan (sisa toksik) yang terbiar di satu lokasi di Pasir Gudang itu dibawa (disebar) oleh angin dan hujan, kembali merebak,” katanya ketika ditemui pemberita pada Majlis Jalinan Mesra Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan bersama warga JBPM sempena Aidilfitri di sini, hari ini.

Beliau berkata, kerja membersih dan menghapuskan bahan kimia berkenaan harus dilaksanakan secepat mungkin.

“Pihak kementerian sudah memaklumkan perkara berkenaan kepada Jabatan Alam Sekitar (JAS) dan JBPM pula memaklumkan mengenai hal ini kepada kerajaan negeri bagi memastikan bahan yang sepatutnya dilupuskan akan dilupus dengan baik,” katanya.

Sementara itu, Ketua Pengarah JBPM, Datuk Mohammad Hamdan Wahid, berkata siasatan pihaknya mendapati bacaan kualiti udara masih di tahap rendah.

“Atas sebab itu bomba akan memberi kerjasama kepada semua pihak terbabit dalam kes berkenaan. Bagi mangsa di sana pula, kita akan bantu mereka bersama dengan Kementerian Kesihatan. Saya percaya kebanyakan mangsa yang dihantar ke hospital kini dalam keadaan stabil,” katanya.

Khamis lalu, media melaporkan 14 pelajar dan dua dewasa dari Sekolah Agama Taman Mawar, manakala 13 lagi murid Sekolah Kebangsaan Pasir Gudang (4), mengalami sesak nafas, loya dan muntah, dipercayai akibat pencemaran udara.

Kejadian itu menyusul hanya kira-kira tiga bulan selepas kawasan sepanjang 1.5 kilometer di Sungai Kim Kim tercemar akibat pembuangan sisa toksik yang menjejaskan hampir 6,000 penduduk.

Sementara itu, mengenai perkembangan isu kematian anggota bomba Muhammad Adib Mohd Kassim, Zuraida berkata, inkues bagi kes terbabit akan disambung pada Rabu ini.

“Buat masa ini saya belum mendapat sebarang jawapan dari Peguam Negara, Tommy Thomas untuk menentukan peguam dan timbalan pendakwa raya yang akan mewakili KPKT dan bomba.

“Berkemungkinan saya akan mendapatkan maklumat susulan dari Peguam Negara untuk mengetahui nama yang dicadangkan kepada KPKT,” katanya.

Berita Harian X