Isnin, 24 Jun 2019 | 6:25pm
Menteri Dalam Negeri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad semasa sidang media selepas mengetuai delegasi kedua-dua kementerian semasa mesyuarat berkenaan isu-isu kesihatan membabitkan Kementerian Dalam Negeri (KDN) di KDN hari ini. - Foto BERNAMA

Penagihan dadah ditakrif pesakit

PUTRAJAYA: Kementerian Dalam Negeri (KDN) dan Kementerian Kesihatan (KKM) bersetuju bekerjasama bagi dikriminalisasi penagih dadah dalam usaha memberi rawatan sewajarnya berbanding hukuman semata-mata.

Menteri Dalam Negeri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, berkata perbincangan dilakukan dengan Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad, mencapai persetujuan dalam perkara terbabit yang membolehkan hasrat kerajaan Pakatan Harapan (PH) dapat direalisasikan.

Beliau berkata, pihaknya bersetuju penagihan dadah perlu dilihat dari sudut perspektif penyakit yang perlu dirawat dan bukan dihukum dengan undang-undang, selain bekerjasama dengan pemegang taruh dan badan bukan kerajaan (NGO).

“Dikriminalisasi perlu dilakukan bukan dengan memansuhkan atau meminda akta sedia ada, tetapi lebih kepada tindakan pentadbiran dengan mentakrif penagih sebagai pesakit dan fokus kepada rawatan serta pemulihan berbanding menghukum.

“Kita bekerjasama dengan KKM dalam pelbagai program Harm Reduction melalui terapi dadah gantian methadone dan kerjasama pentadbiran kes dua diagnosis yang dijalankan di Pusat Pemulihan Penagihan Narkotik (PUSPEN) Tampoi serta Hospital Permai, Johor.

“Pembelian peralatan perubatan dan ubat-ubatan secara bersepadu dengan KKM untuk mengurangkan kos pengurusan rawatan di pusat tahanan dan depoh tahanan seliaan KDN,” katanya pada sidang media selepas Kunjungan Hormat Menteri Kesihatan di KDN, hari ini.

Terdahulu, Muhyiddin melakukan perbincangan bersama Dr Dzulkefly hampir dua jam bagi mencari kesepakatan dalam isu rawatan kepada penagih dan pengurusan penyakit tibi.

Muhyiddin berkata, pihaknya juga mengkaji untuk mengeluarkan Seksyen 6, 8 dan 9 Akta Penagih Dadah (Rawatan dan Pemulihan) daripada didaftarkan mengikut Akta 7 (Akta Pendaftaran Penjenayah dan Orang Tidak Diingini 1969) bagi memberi peluang kedua kepada penagih yang pulih serta dibebaskan daripada pusat pemulihan Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK).

Beliau berkata, selain Akta Penagih Dadah (APD), Seksyen 15 (1) dan Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya 1952 sedang diperhalusi keperluan dikeluarkan daripada didaftarkan mengikut Akta 7 selaras hasrat kerajaan memberi peluang kedua kepada penagih dadah.

“Kerjasama ini membolehkan sebahagian besar tahanan dalam penjara yang terbabit dadah dapat dikategorikan dengan takrifan bagi membolehkan agenda bersama ini dapat dilaksanakan bagi pemulihan dan rawatan.

“Ini dapat membolehkan langkah susulan dilakukan dengan kerjasama KKM membabitkan sumber, tenaga kerja dan logistik,” katanya.

Sementara itu, mengulas penyebaran penyakit berjangkit termasuk tibi di penjara dan depoh tahanan, Muhyiddin berkata, pihaknya mengakui ada kes membabitkan perkara terbabit yang perlu diberi perhatian bagi mengekang penyakit terbabit terus merebak dan rawatan dapat diberikan.

“Berdasarkan rekod Jabatan Penjara, seramai 16,955 banduan dikesan ada penyakit berjangkit termasuk pesakit tibi seramai 149 orang, manakala rekod AADK pula, sehingga Jun 2019, seramai 1,280 tahanan mempunyai penyakit berjangkit dengan 205 mempunyai penyakit tibi.

“Perbincangan ini juga membawa kesepakatan untuk kita bekerjasama dengan KKM dalam aspek rawatan dan bekalan ubat,” katanya.

Berita Harian X