Rabu, 26 Jun 2019 | 4:37pm

JKR siasat lereng sepanjang Jalan Batu Ferringhi

GEORGETOWN: Jabatan Kerja Raya (JKR) akan menyiasat bahagian atas dan bawah lereng sepanjang Jalan Batu Ferringhi di sini, bagi memastikan tiada risiko runtuhan.

Ketua Menteri, Chow Kon Yeow, berkata siasatan itu bagi memastikan jalan raya sepanjang kira-kira 15 kilometer (km) yang menghubungkan kawasan utara Pulau Pinang itu terjamin selamat kepada pengguna.

“Kerja baik pulih kawasan lereng perlu dibuat sepanjang lereng di Jalan Batu Ferringhi, sekiranya didapati tidak selamat. Jalan raya berkenaan sangat sibuk dan penting untuk kawasan utara negeri.

“Selain itu, beberapa syor mitigasi lain juga akan dibuat bagi menjamin keselamatan jalan ini,” katanya pada sidang media di Kompleks Tun Abdul Razak (KOMTAR) di sini, hari ini.

Semalam, seramai empat buruh binaan warga Myanmar maut selepas tertimbus dalam runtuhan tanah di Jalan Batu Ferringhi di sini, kira-kira jam 9.25 malam.

Keempat-empat mangsa diupah pemilik sebuah resort di situ untuk membina tembok penahan tanah selepas mendapati berlaku pergerakan tanah, sejak seminggu lalu.

Semua mangsa ditemui antara jam 11.15 malam hingga 3.35 pagi dengan mayat dibawa ke Jabatan Forensik Hospital Pulau Pinang di sini, untuk proses bedah siasat.

Dalam pada itu, Kon Yeow menegaskan Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) tidak menerima permohonan atau pelan untuk melaksana kerja pembinaan tembok penahan tanah di kawasan runtuhan.

“Pemilik resort terbabit membina tembok berkenaan di atas tanah miliknya selepas tembok sedia ada retak, selain keseluruhan proses pembinaan dilakukan tanpa pembabitan pakar.

“Mungkin cara kerja dilakukan menyebabkan pergerakan tanah walaupun tak hujan, selain didapati keadaan tanah di situ lemah hingga menyebabkan runtuh,” katanya.

Mengulas lanjut, beliau berkata, pemilik resort terbabit perlu memohon kebenaran MBPP sekiranya mahu meneruskan kerja pembinaan tembok penahan tanah itu.

“Pemilik resort juga bertanggungjawab ke atas keselamatan bangunannya dan perlu memastikan pemantauan di kawasan lereng berhampiran dibuat menggunakan khidmat pakar.

“Kita juga tidak mempunyai maklumat mengenai latar belakang semua mangsa yang maut dan biar pihak berkuasa menjalankan siasatan terperinci,” katanya.

Sementara itu, Datuk Bandar MBPP, Datuk Yew Tung Seang, mengesahkan pembinaan tembok penahan tanah dilakukan pemilik resort itu dibuat secara haram kerana tidak memiliki kebenaran daripada pihak berkuasa tempatan.

“MBPP juga akan mengeluarkan notis pemberhentian kerja tanah mengikut Seksyen 70 (A) Akta Jalan, Parit dan Bangunan 1974 kepada pemilik resort, selain memastikan pemilik premis akan diambil tindakan perundangan,” katanya.

CHOW Kon Yeow pada sidang media berhubung insiden kejadian tanah runtuh yang menyebabkan empat warga Myanmar maut dalam kejadian di Jalan Tanjung Bungah semasa sidang media di pejabatnya, Kompleks Tun Abdul Razak (KOMTAR). - Foto Danial Saad
Berita Harian X