Rabu, 26 Jun 2019 | 6:45pm
Pengguna lebuh raya akan menerima manfaat dengan pantas, iaitu penjimatan bayaran tol susulan keputusan kerajaan mengambil alih empat lebuh raya utama. - Foto hiasan
Pengguna lebuh raya akan menerima manfaat dengan pantas, iaitu penjimatan bayaran tol susulan keputusan kerajaan mengambil alih empat lebuh raya utama. - Foto hiasan

Ambil alih lebuh raya beri manfaat segera kepada pengguna

KUALA LUMPUR: Pengguna lebuh raya akan menerima manfaat dengan pantas, iaitu penjimatan bayaran tol susulan keputusan kerajaan mengambil alih empat lebuh raya utama.

Menteri Kewangan, Lim Guan Eng, berkata menerusi langkah itu pengguna lebuh raya akan membayar caj kesesakan lebih rendah yang mampu memberi mereka penjimatan sebanyak RM180 juta setahun.

Menteri Kewangan, Lim Guan Eng. - NSTP/Mikail Ong
Menteri Kewangan, Lim Guan Eng. - NSTP/Mikail Ong

“Pengguna lebuh raya mendapat manfaat daripada membayar caj kesesakan yang dikurangkan secara ketara daripada kadar tol semasa serta menjimatkan sehingga RM180 juta setahun.

“Kerajaan secara prinsipnya akan memberikan diskaun sehingga 30 peratus pada waktu luar puncak dan kadar percuma pada waktu bukan puncak,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, tempoh konsesi juga tidak akan dilanjutkan tetapi akan tamat seperti yang termeterai dalam perjanjian konsesi sedia ada.

“Selepas perjanjian tamat, caj kesesakan akan dikurangkan lagi bagi menampung kos operasi dan penyelenggaraan lebuh raya sahaja tanpa mengandungi sebarang unsur keuntungan,” katanya.

Guan Eng berkata, tawaran pengambilan bersyarat ini, apabila diluluskan oleh pemegang saham dan pemiutang empat pemegang konsesi lebuh raya, masih tertakluk kepada kelulusan daripada jemaah menteri.

“Ini secara jelas dinyatakan dalam kenyataan saya pada 22 Jun lalu, selepas Jemaah Menteri meluluskan secara prinsip pada 27 Februari lalu, serta kelulusan Perdana Menteri atas tawaran terbabit pada 20 Jun lalu,” katanya.

Beliau berkata, tawaran itu dibuat selepas melalui ketekunan wajar oleh perunding perbankan profesional.

“Ia sejajar dengan usaha memenuhi komitmen kerajaan seperti dinyatakan dalam manifesto pilihan raya untuk mengambil alih konsesi lebuh raya dan beransur-ansur mengurangkan kadar tol, bagi meringankan beban dipikul rakyat,” katanya.

Kementerian Kewangan sudah mengemuka tawaran bersyarat, tertakluk kepada kelulusan Kabinet, untuk mengambil alih empat lebuh raya iaitu Lebuhraya Shah Alam (KESAS), Lebuhraya Damansara-Puchong (LDP), Sistem Penyuraian Trafik KL Barat (SPRINT) dan Terowong SMART, dengan kos kira-kira RM6.2 bilion.

Kerajaan juga menjelaskan manfaat di sebalik pengambilalihan, termasuk penjimatan bayaran wang pampasan oleh kerajaan berjumlah RM5.3 bilion, serta penjimatan bayaran tol oleh pengguna lebuh raya sehingga RM180 juta setahun.

Berita Harian X