Khamis, 27 Jun 2019 | 2:04pm
GAMBAR fail, Menteri Pembangunan Luar Bandar, Datuk Seri Rina Harun. - Foto Muhd Zaaba Zakeria

Tiada memo larang hadir majlis Hari Raya anjuran pembangkang - Rina

PUTRAJAYA: Menteri Pembangunan Luar Bandar, Datuk Seri Rina Harun, menegaskan kementeriannya tidak pernah mengeluarkan memo untuk melarang kakitangan Jabatan Kemajuan Masyarakat (KEMAS) menghadiri majlis Hari Raya anjuran pembangkang.

Sebaliknya, beliau berkata, terpulang kepada mana-mana kakitangan untuk menyertai acara berkenaan memandangkan ia terbuka kepada orang ramai.

“Takkan pergi rumah terbuka tidak boleh. Nama pun rumah terbuka, terpulang kepada sesiapa untuk menghadirinya.

“Macam kementerian mengadakan rumah terbuka, baru-baru ini, kita menjemput semua orang tanpa mengira fahaman politik,” katanya pada sidang media selepas Majlis Pelancaran Dasar Pembangunan Luar Bandar (DPLB) 2030, di sini, hari ini.

Beliau mengulas penularan satu memo didakwa dikeluarkan KEMAS bertarikh semalam yang melarang semua kakitangan jabatan itu di Machang, Kelantan, menghadiri sebarang program, mesyuarat dan keraian, termasuk sambutan Hari Raya, anjuran pembangkang.

Memo itu juga memaklumkan tindakan tatatertib akan dikenakan sekiranya mereka didapati melanggar larangan ditetapkan.

Berita Harian X