Khamis, 27 Jun 2019 | 5:42pm
PASUKAN Hazmat Bomba melakukan pemeriksaan bacaan kualiti udara di Kawasan Perindustrian Jalan Platinum berhampiran Kampung Pasir Gudang Baru berikutan berlaku situasi pencemaran udara di beberapa kawasan di sekitar Pasir Gudang. - Foto Hairul Anuar Rahim

Kawasan industri dan sekolah terlalu hampir

PASIR GUDANG: Hanya dua kilometer memisahkan kawasan industri dengan sekolah di Pasir Gudang, menyebabkan murid dan pelajar mudah terdedah kepada ancaman pencemaran udara.

Tinjauan BH mendapati kawasan Perindustrian Jalan Platinum, di sini, yang menempatkan lebih 10 kilang industri berat berada terlalu hampir dengan Sekolah Kebangsaan (SK) Pasir Gudang 4 dan Sekolah Agama Taman Mawar, iaitu sekolah terawal yang terjejas akibat pencemaran udara, Khamis lalu.

Kampung Pasir Gudang Baru yang didiami kira-kira 200 penduduk pula hanya terletak 500 meter dari kawasan industri berkenaan.

Sementara itu, empat Pasukan Unit Bahan Berbahaya (HAZMAT) digerakkan bagi memantau bacaan kualiti udara di kawasan perindustrian, sekolah dan taman perumahan di sekitar Pasir Gudang.

Pakar Pasukan Unit Bahan Berbahaya (HAZMAT) Negeri Sembilan, Timbalan Penguasa Bomba Mohammad Idris, berkata lebih 60 anggota unit berkenaan diaktifkan hampir 24 jam sehari bagi mendapatkan bacaan kualiti udara sejak Khamis lalu.


KETUA pasukan pengesan Hazmat, Mohd Yusri Yusoff menunjukkan peta lokasi pemeriksaan bacaan kualiti udara yang dilakukan di Kawasan Perindustrian Jalan Platinum berhampiran Kampung Pasir Gudang Baru berikutan berlaku situasi pencemaran udara di beberapa kawasan di sekitar Pasir Gudang. - Foto Hairul Anuar Rahim

Katanya, bacaan kualiti udara menggunakan alat pengesan gas kimia, Gasmet diambil tiga kali sehari bermula jam 9 hingga 11 pagi, 3 hingga 4 petang dan 9 hingga 11 malam.

“Setakat ini, kualiti udara di beberapa lokasi kawasan industri yang dipantau masih dalam keadaan normal namun ia bergantung kepada tiupan angin dan cuaca.

“Bagaimanapun pasukan HAZMAT bersiap sedia untuk sebarang kemungkinan dan semua data akan dilaporkan terus kepada Jawatankuasa Saintifik untuk analisis,” katanya ketika ditemui membuat pemantauan bacaan kualiti udara di kawasan Perindustrian Jalan Platinum, di sini, hari ini.

Ditanya sama ada pemantauan bacaan kualiti udara dilakukan di kawasan 30 kilang yang dipantau kerajaan negeri, Mohammad bagaimanapun enggan mengulas lanjut.

“Setiap kilang memang menggunakan bahan kimia namun bukan semua kilang menggunakan bahan kimia yang sama. Mengenai 30 kilang yang dipantau itu, saya tiada komen,” katanya.

Berita Harian X