Khamis, 27 Jun 2019 | 11:51pm
Pengerusi Yayasan MRCB, Datin Jasmine Abdullah (dua dari kiri) bersama sebahagian pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) La Salle, Brickfields.

Yayasan MRCB sumbang RM231,000 program bantuan makanan pelajar

KUALA LUMPUR: Yayasan MRCB menyampaikan sumbangan RM231,000 untuk program bantuan makanan selama setahun yang akan memanfaatkan 384 pelajar daripada 12 sekolah di seluruh negara.

Majlis penyampaian bantuan itu hari ini disempurnakan Pengerusi Yayasan MRCB, Datin Jasmine Abdullah di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) La Salle, Brickfields, di sini dengan dihadiri Ahli Parlimen Pantai, Fahmi Fadzil.


Sebahagian pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) La Salle, Brickfields, Kuala Lumpur yang dipilih menerima kalkulator, buku dan makanan untuk pelajar sasaran menerusi sumbangan daripada Yayasan MRCB.

Jasmine berkata, sekolah yang terpilih adalah Sekolah Kebangsaan (SK) Pengkalan Jaya and SK Kuala Perai di Butterworth, Pulau Pinang; SK Iskandar Perdana, Perak; SK Setia Budi di Batu Pahat, Johor; SMK La Salle Brickfields, SK La Salle Brickfields dan Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil SJK (T) Vivekananda, SK Seri Bonus dan SK Padang Tembak 1 di Kuala Lumpur; SK Seksyen 7 Kota Damansara, Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Jalan Bukit dan SMK Bandar Baru Sungai Buloh di Selangor.

“Sumbangan ini membabitkan pemberian kotak makanan tengah hari kepada pelajar daripada keluarga kurang berkemampuan untuk membeli makanan di kantin sekolah.

“Kita juga amat mengalu-alukan sumbangan daripada pihak lain untuk bersama-sama menjayakan program dalam membantu mereka yang memerlukan,” katanya.

Selain sumbangan program bantuan makanan, Yayasan MRCB turut menyumbangkan kalkulator saintifik serta buku bernilai RM60,000 kepada 600 pelajar kurang berkemampuan dari enam sekolah di Kuala Lumpur.


Pengerusi Yayasan MRCB, Datin Jasmine Abdullah (enam dari kanan) dan Ahli Parlimen Lembah Pantai, Fahmi Fadzil (sembilan dari kanan) bersama-sama pengetua sekolah yang menerima sumbangan kalkulator, buku-buku dan program Makanan Kepada Pelajar Sasaran di Sekolah Menengah Kebangsaan La Salle, Brickfields, Kuala Lumpur.

Yayasan MRCB juga akan menganjurkan konsert amal bertajuk ‘ Yannick Bovy Celebrates Nat King Cole’ di Istana Budaya pada 5 Oktober depan bagi mengumpul dana dan mengalu-alukan penderma untuk turut sama menjayakan program itu.

Beliau berkata, setakat ini Yayasan MRCB sudah menyumbangkan lebih RM600,000 dan akan terus menjalankan pelbagai aktiviti tahun ini untuk membantu pelajar kurang berkemampuan di seluruh negara.

Berita Harian X