Jumaat, 28 Jun 2019 | 12:50pm

Kes pembuangan bayi serius - TPM

SEPANG: Kes pembuangan bayi di negara ini adalah satu isu yang serius dan harus ditangani dengan segera, kata Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail.

Timbalan Perdana Menteri berkata statistik Polis Diraja Malaysia (PDRM) merekodkan sejumlah 577 kes pembuangan bayi bagi tahun 2014 sehingga 2018.

Beliau berkata, antara punca pembuangan bayi adalah kehamilan luar nikah dan kehamilan remaja.

“Kementerian mengambil langkah proaktif dengan merangka strategi advokasi, pencegahan dan menjalankan program kesedaran awam khusus kepada golongan remaja mengenai kesihatan reproduktif mereka.

“Kementerian dalam usaha untuk melaksanakan pemetaan lokaliti dan campur tangan strategik bagi kawasan yang dikenal pasti sebagai titik panas kes pembuangan bayi melalui kerjasama dengan polis,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Pelancaran Kempen Mencegah Pembuangan Bayi di Kawasan Rehat dan Rawat (R&R) Dengkil di sini, hari ini.

Yang turut hadir, Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Hannah Yeoh.

Program kerjasama Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat dengan Plus Malaysia Berhad (PLUS) itu merangkumi inisiatif menampal pelekat di pintu tandas di 22 R&R PLUS seluruh negara.

Mengulas lanjut, Dr Wan Azizah yang juga Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat turut menasihatkan golongan remaja atau wanita terlanjur yang tidak tahu langkah yang patut dilakukan supaya menghubungi Talian Kasih 15999.

Beliau berkata, golongan itu perlu mendapatkan bantuan segera dan tidak mengambil tindakan melulu yang akan membahayakan nyawa mereka serta bayi.

“Kementerian juga mempunyai kaunselor yang bertauliah dalam mengendalikan kes sedemikian,” katanya.

Dalam pada itu, Hannah ketika ditemui pemberita berkata, inisiatif di R&R PLUS itu adalah cara baharu menyampaikan mesej kepada kira-kira 1.6 juta pengguna harian kawasan itu di seluruh negara.

Katanya, kementerian juga sedang berbincang dengan pihak berkaitan dalam usaha menyebar luas inisiatif berkenaan di perkhidmatan transit aliran ringan (LRT) selain lapangan terbang.

“Kawasan tertinggi berlaku kes pembuangan bayi bagi tempoh 2010 hingga 2018 adalah di kawasan perumahan dengan 266 kes, tandas (108) dan tempat pembuangan sampah (89).

“Bagi tempoh sama, negeri tertinggi kes pembuangan bayi adalah di Selangor ekoran populasi penduduknya ramai, diikuti Sabah dan Johor,” katanya.

Selain itu beliau berkata, sejak Januari hingga Mei lalu, sejumlah 65 kes pembuangan bayi direkodkan dengan Johor mencatatkan kes tertinggi iaitu 13 kes, Selangor (11) dan Kuala Lumpur (tujuh).

Katanya, 60 peratus bayi yang ditemui meninggal dunia.

DR Wan Azizah Wan Ismail ketika melancarkan Kempen Mencegah Pembuangan Bayi dan turut bersama timbalannya Hannah Yeoh (kiri) di Kawasan Rehat dan Rawat (R&R) Dengkil Arah Selatan. - Foto Ahmad Irham Mohd Noor
DR Wan Azizah Wan Ismail ketika melancarkan Kempen Mencegah Pembuangan Bayi dan turut bersama timbalannya Hannah Yeoh (kiri) di Kawasan Rehat dan Rawat (R&R) Dengkil Arah Selatan. - Foto Ahmad Irham Mohd Noor
Berita Harian X