Jumaat, 28 Jun 2019 | 2:46pm
MOHD Uzir Mahidin.

Jumlah jawatan sektor swasta meningkat 82,000

PUTRAJAYA: Jumlah jawatan di sektor swasta meningkat sebanyak 82,000 pada suku pertama 2019 kepada 8.55 juta berbanding 8.47 juta bagi tempoh sama tahun lalu.

Statistik Guna Tenaga Suku Tahun Pertama 2019 diterbitkan Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) menunjukkan kadar jawatan diisi kekal pada 97.7 peratus atau 8.35 juta, manakala kadar kekosongan jawatan ialah 2.3 peratus atau (201,000).

Ketua Perangkawan, Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin, berkata bagi tempoh sama, sebanyak 23,000 jawatan diwujudkan oleh sektor swasta berbanding 29,000 bagi suku pertama 2018.

Katanya, dari segi komposisi mengikut kategori kemahiran, jawatan didominasi oleh kategori separuh mahir dengan sumbangan 62.3 peratus, diikuti kategori mahir (24.3 peratus) dan berkemahiran rendah (13.4 peratus).

“Lebih 50 peratus kekosongan jawatan adalah bagi kategori separuh mahir, manakala kategori mahir mencatatkan 23.3 peratus.

“Sementara itu, pewujudan jawatan bagi kategori separuh mahir pada suku ini menyumbang 49.1 peratus diikuti kategori mahir yang mewakili 44.9 peratus,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Dr Mohd Uzir berkata, sektor perkhidmatan kekal penyumbang terbesar kepada jawatan ditawarkan dengan 51.9 peratus, diikuti pembuatan (26.2 peratus), pembinaan (15.2 peratus), pertanian dan perlombongan serta pengkuarian masing-masing 5.8 peratus dan 1.0 peratus.

“Dari segi kekosongan pula, sektor pembuatan menyumbang 54.3 peratus, berbanding sektor perkhidmatan dengan 21.3 peratus.

“Namun, lebih daripada 50 peratus pewujudan jawatan pada suku ini adalah dalam sektor perkhidmatan,” katanya.

Berita Harian X