Jumaat, 28 Jun 2019 | 3:15pm
GOBIND Singh Deo (tengah) pada sidang media selepas merasmikan Forum Data Hadapan di Putrajaya. - Foto BERNAMA

Revolusi Industri Keempat perlukan pembangunan bakat teknologi

PUTRAJAYA: Kerajaan menyokong inisiatif pelbagai pihak bagi membangunkan agenda bakat teknologi (technology talent development) dan digital dalam menangani keperluan yang semakin mendesak pada masa ini.

Menteri Komunikasi dan Multimedia, Gobind Singh Deo, berkata pembangunan bakat sangat penting sebagai persediaan Revolusi Industri Keempat (IR 4.0) untuk dimanfaatkan bagi mengisi peluang dalam bidang digitalisasi dan teknologi pintar.

Katanya, mengikut Kajian Bakat Digital dijalankan Frost & Sullivan Digital untuk Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC) pada 2017, permintaan dalam bidang ini dijangka meningkat 15 peratus setahun yang memerlukan lebih 540,000 pekerjaan menjelang 2020.

“Memandangkan bidang ini semakin berkembang dan menerima permintaan tinggi, kerajaan mengadakan kerjasama dengan MDEC bagi menangani isu ini yang diadakan selama beberapa tahun,” katanya selepas merasmikan Forum Data Hadapan di sini hari ini.

Yang turut hadir, Ketua Pegawai Eksekutif yang juga Provost baharu Universiti Heriot- Watt Malaysia, Prof Mustak Al Atabi.

Forum Ekonomi Dunia baru-baru ini menganggarkan 75 juta bakat digital diperlukan dan peranannya mungkin merosot menjelang 2022, manakala 133 juta diperlukan dalam bidang teknologi maklumat di sektor industri.

Gobind berkata, kementerian juga bekerjasama dengan rakan kongsi industri bagi memenuhi keperluan dalam bidang teknologi lain seperti Cybersecurity, Data Sains, IoT (Internet of Things), Pemasaran Digital dan Multimedia Kreatif.

Katanya, graduan Sains Komputer dilihat mempunyai prospek besar untuk mengisi kekosongan jawatan dalam bidang digital yang ditawarkan industri ini.

“Kerajaan juga menyokong usaha Universiti Heriot-Watt yang mengadakan pendidikan teknikal Sains Data dalam bahasa Inggeris bagi menyediakan transformasi digital dengan menawarkan biasiswa berjumlah RM 2.6 juta sepanjang lima tahun akan datang.

“Graduan perlu bersedia untuk menempuh cabaran kerjaya dunia digital ini kerana pekerjaan sebegini mungkin diambil alih oleh mesin dan teknologi robotik pada masa depan,” katanya.

Berita Harian X