Sabtu, 29 Jun 2019 | 9:25am
Gabenor Narathiwat, H E Ekkarat Leesen (kanan) dan Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Mohamaddin Ketapi merasmikan program Sukan Dan Kebudayaan Thailand-Malaysia 2019 di Taman NarKrom Luang Narathiwat Ratchanakarin Park. - Foto Supian Ahmad

Promosi TMM 2020 berjalan lancar

NARATHIWAT, THAILAND: Kira-kira 60 peratus tarikan produk dan promosi pelancongan menjelang Tahun Melawat Malaysia 2020 (TMM 2020) sudah disiapkan terutama membabitkan sektor luar negara.

Ini susulan usaha giat pelancongan luar yang disertai negara ini antaranya World Travel Mart di London, Internationale Tourismus-Börse Berlin (ITB), Jerman sebagai Country Partner, pameran Arab Travel Mart di Dubai, Sepanyol serta banyak negara lain.

Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Mohamaddin Ketapi, berkata pameran dan promosi itu turut dipergiatkan di negara jiran seperti Thailand iaitu pameran pasaran bagi menggalakkan kedatangan pelancong asing tahun hadapan.

"Promosi ini hampir selesai terutama bagi luar negara dan ianya menjadi sebahagian bahan tarikan serta promosi pelancongan sempena kempen TMM 2020, malah melihat perkembangan positif tiga bulan pertama tahun ini, sementara banyak papan tanda mega diletakkan di lokasi strategik bagi peringkat tempatan.

"Dari Januari hingga Mac lalu, kita merekodkan kira-kira 6.7 juta pelancong dengan menjana RM21.4 bilion pendapatan pelancongan negara bagi tempoh terbabit," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas pelancaran Pesta Pelancongan, Kebudayaan dan Sukan Dua Negara Thailand dan Malaysia 2019 di Narathiwat di sini, malam tadi.

Yang turut ialah Gabenor Narathiwat, H E Ekkarat Leesen.

Mohamaddin berkata, penerbangan keseimbangan dari masa ke masa semakin bertambah, kesinambungan penerbangan yang antaranya membabitkan destinasi Eropah, China, India, London, Jerman sama ada ke Kuala Lumpur atau lapangan terbang lain seperti Langkawi serta lain-lain.

"Antaranya ada penerbangan Arab Serbia Air, India, Condor Airlines ke Kuala Lumpur, sementara terdapat pilihan kesinambungan penerbangan lain seperti destinasi Eropah, London-Langkawi, Manchester England-Langkawi membawa pelancong terus ke negara ini.

"Bagi pelancaran logo TMM itu ia akan dilancarkan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad dalam masa terdekat ini," katanya.

Berita Harian X