Sabtu, 29 Jun 2019 | 9:30am
Gabenor Narathiwat, H E Ekkarat Leesen (kanan) dan Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Mohamaddin Ketapi merasmikan program Sukan Dan Kebudayaan Thailand-Malaysia 2019 di Taman NarKrom Luang Narathiwat Ratchanakarin Park. - Foto Supian Ahmad

Malaysia, Thailand jalin kerjasama terokai sektor pelancongan

NARATHIWAT: Sektor pelancongan Malaysia mempunyai prospek cerah untuk memberikan pengalaman lancar dalam kalangan pelancong asing yang memilih negara ini sebagai destinasi tunggal mereka.

Pesta Pelancongan, Kebudayaan dan Sukan Dua Negara antara Malaysia dan Thailand, disifatkan inisiatif saling sokong-menyokong dalam bidang pelancongan dan budaya sekali gus menjadikannya sektor yang berdaya menarik.

Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Mohamaddin Ketapi, berkata Malaysia meletakkan sasaran menjadi destinasi pelancongan unggul dalam rantau sekali gus dikenali sebagai negara yang kaya dengan keunikan budaya, warisan dan tarikan semulajadi.

"Festival ini menggabungkan rakan industri dan pihak berkepentingan negara kita, tetapi membabitkan penyertaan dari negara jiran bersama dan mengenali antara satu sama lain, berkongsi maklumat mengenai usaha untuk membangunkan pelancongan dan potensi budaya di kedua-dua negara.

"Menerusi platform ini ia mempromosikan kepelbagaian budaya dan tarikan mempesonakan yang terdapat di Narathiwat selain memberi peluang menerokai pengalaman berbeza yang sesuai diperkenalkan di negara kita," katanya di sini, malam tadi.

Beliau berkata demikiann pada majlis Kebudayaan Thailand Malaysia yang juga adalah lawatan rasmi sekali gus menjadi yang pertama bagi wilayah sempadan negara jiran ini.

Antara persembahan yang dipamerkan oleh artis kebudayaan dua negara sempena program Sukan Dan Kebudayaan Thailand-Malaysia 2019 di Taman NarKrom Luang Narathiwat Ratchanakarin Park. - Foto Supian Ahmad

Sempena festival itu, pelbagai aktiviti dianjurkan antaranya perlawanan bola sepak, acara tarik tali, permainan golf serta tarian kebudayaan kedua negara yang turut disaksikan Gabenor Narathiwat, H E Ekkarat Leesen.

Malaysia dan Thailand, antara negara ASEAN menikmati hubungan diplomatik dan hubungan dua hala kukuh dalam bidang sukan, pelancongan, budaya dan hubungan serta pembangunan sosio-ekonomi di kawasan sempadan.

Mohamaddin berkata, hubungan itu diharapkan menjadi asas yang mengukuhkan hubungan budaya dan pelancongan yang sedia terjalin.

"Dalam mencapai tujuan berkenaan Malaysia akan terus mewujudkan persekitaran kondusif bagi pembangunan pelancongan dan kebudayaan, termasuk kerjasama antara pihak berkepentingan industri pelancongan dan penggiat kebudayaan bagi memastikan industri terus berkembang.

"Menerusi kempen Tahun Melawat Malaysia 2020 yang bakal dilancarkan mulai Julai ini, kita menjangkakan ketibaan 30 juta pelancong dengan pulangan pendapatan berjumlah RM100 bilion, pada tahun depan.

Katanya, kedudukan jenama global 'Malaysia Truly Asia' dilihat menjadi daya penyerlah pelbagai budaya dan masyarakat berbilang kaum yang hidup harmoni.

Sementara itu, Leesen berkata acara dua negara itu menonjolkan keunikan budaya yang hampir mempunyai persamaan, selain memperkenalkan tempat tarikan yang ada di wilayahnya antaranya keindahan pantai, alam semulajadi dan lain-lain.

"Ini satu penghormatan kepada kita dan memberikan galakan kepada kedua-dua pihak, kerana sebelum ini kita mempunyai banyak aktiviti menarik antaranya pesta buah, perahu golek, perahu panjang dan lain-lain," katanya.

Berita Harian X