Isnin, 1 Julai 2019 | 11:53am
YEO Bee Yin (kanan) diiringi Mohd Khuzzan (dua dari kanan) melawat keadaan di Sekolah Kebangsaan Kopok yang terjejas berikutan pencemaran udara yang masih berlaku di Pasir Gudang. - Foto Hairul Anuar Rahim
YEO Bee Yin (kanan) diiringi Mohd Khuzzan (dua dari kanan) melawat keadaan di Sekolah Kebangsaan Kopok yang terjejas berikutan pencemaran udara yang masih berlaku di Pasir Gudang. - Foto Hairul Anuar Rahim

JKKP periksa inventori 250 kilang kimia - EXCO

PASIR GUDANG: Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP) akan memeriksa inventori di 250 premis kilang mengendalikan bahan kimia yang ada di sini, sama ada mematuhi prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Kebudayaan dan Warisan Johor, Mohd Khuzzan Abu Bakar, berkata langkah intervensi itu diambil kerajaan negeri bagi menangani masalah pencemaran udara.

Katanya, pasukan petugas khas membabitkan agensi seperti Jabatan Alam Sekitar (JAS), Jabatan Kimia, Kementerian Kesihatan, JKKP, Jabatan Bomba dan Penyelamat, Majlis Perbandaran Pasir Gudang (MPPG) serta Pasukan Bantuan Kecemasan Bersama Pasir Gudang ( PAGEMA), sudah dibentuk bagi menyepadukan gerak kerja.

“Pemeriksaan inventori 250 premis kilang kimia di sini adalah penting bagi membolehkan kita lihat sama ada semua SOP ditetapkan dipatuhi mereka.

“Pihak JAS pula akan mempertingkatkan pemantauan dan penguatkuasaan bagi penyingkiran sisa industri di lokasi berhampiran taman perumahan dan sekolah.

“Kementerian Kesihatan sudah membentuk 18 pasukan kecemasan First Aid bagi memberikan pendidikan awal menjaga kebersihan diri di sekolah selain bersiap sedia menghadapi sebarang kemungkinan,” katanya pada sidang media di Menara Aqabah MPPG di sini, hari ini.

Yang turut hadir, Menteri Tenaga, Teknologi, Sains, Perubahan Iklim dan Alam Sekitar, Yeo Bee Yin.

Mohd Khuzzan berkata semalam hanya 10 mangsa pencemaran udara dirujuk ke Hospital Sultan Ismail (HSI) untuk rawatan lanjut selepas ia menjejaskan 270 pelajar dan tiga guru daripada 27 sekolah di Pasir Gudang.

“Namun, selepas pemantauan, hanya tiga mangsa dimasukkan ke wad untuk rawatan susulan,” katanya.

Berita Harian X