Isnin, 1 Julai 2019 | 12:46pm
DR Wan Azizah Wan Ismail menjawab soalan pada Mesyuarat Kedua Penggal Kedua Parlimen ke-14 di Bangunan Parlimen. - Foto BERNAMA

Utamakan rakyat tempatan, sebelum ambil pelarian sah bekerja - TPM

KUALA LUMPUR: Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail memberi jaminan rakyat tempatan akan diberikan keutamaan bekerja sebelum mengambil pelarian yang sah bekerja dalam pelbagai sektor di negara ini.

Timbalan Perdana Menteri berkata, kerajaan tidak mahu peluang pekerjaan rakyat sendiri terjejas berikutan pengambilan pekerja asing khususnya pemegang kad khas Pesuruhjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian (UNHCR).

“Pelarian yang diambil bekerja juga hendaklah bukan dalam kalangan pelarian ekonomi,” katanya menjawab soalan Ahmad Tarmizi Sulaiman (PAS-SIK) di Dewan Rakyat, hari ini.

Ahmad Tarmizi ingin tahu perancangan kerajaan menyelesaikan masalah pendaftaran pelarian Rohingya yang diselia UNHCR ketika ini.

Dr Wan Azizah berkata, kerajaan juga bercadang menempatkan pegawai polis dan Jabatan Imigresen di pejabat UNHCR bagi memudahkan proses mengesan status pelarian Rohingya.

“Sehingga 31 Mei lalu, seramai 173,731 pelarian Rohingya di negara ini meliputi 124,753 pelarian dan 48,978 mencari suaka politik,’ katanya.

Berita Harian X