Isnin, 1 Julai 2019 | 1:06pm

Pemandu e-hailing tetap perlu jalani ujian PSV

PUTRAJAYA: Kementerian Pengangkutan menegaskan keputusan melaksanakan peraturan ke atas pemandu dan kenderaan e-hailing bukan untuk menyusahkan mereka, tetapi menyelaraskan industri itu supaya menjadi perniagaan yang diiktiraf.

Menterinya, Anthony Loke, menegaskan mereka tetap perlu melalui proses itu sekiranya mahu terus menjadi pemandu e-hailing, malah pemandu orang kurang upaya (OKU) yang menempuhi pelbagai kesukaran pun sanggup memenuhi pelbagai syarat yang ditetapkan.

“Jadi, apa yang menghalang pemandu biasa daripada menjalani proses sama? Kalau mereka katakan sebab ada proses ini mereka tidak mahu jadi pemandu e-hailing, maka kerajaan tidak boleh paksa mereka.

“Kita perlu faham dalam sesebuah negara itu ada kerangka undang-undang dan apa yang kita buat hari ini adalah untuk menyelaras dan membenarkannya di sisi undang-undang.

“Kita (kerajaan) sudah buat keputusan untuk benarkan e-hailing terus beroperasi tetapi dalam kerangka undang-undang ditetapkan,” katanya selepas menghadiri Program Khas Lesen Kenderaan Pengangkutan Awam (PSV) untuk pemandu e-hailing OKU di sini, hari ini.

Sejumlah 256 calon pemandu e-hailing OKU dikenal pasti layak menduduki ujian PSV dan mereka akan menerima keputusan dalam tempoh lima hari akan datang.

Loke berkata demikian mengulas laporan media mengenai akan berlaku pengurangan sekurang-kurangnya 50 peratus pemandu e-hailing di Malaysia bermula bulan ini susulan pengumuman kerajaan bahawa mereka perlu memiliki lesen PSV sebelum 12 Julai ini.

Ia berikutan sesetengah pemandu menganggap undang-undang yang dikenakan terhadap mereka membebankan dan ada antara mereka yang berkhidmat separuh masa saja.

Dalam pada itu, mengenai dakwaan ramai pemandu e-hailing gagal dalam ujian PSV, beliau berkata berdasarkan laporan yang diterima, majoriti pemandu perkhidmatan itu lulus ujian berkenaan tetapi enggan mengulas lanjut.

Sebelum ini, Persatuan Pemandu Grab Malaysia (GDMA) bingung apabila dimaklumkan kadar kegagalan lulus peperiksaan PSV e-hailing sangat tinggi sehingga memaksa pemandu mengeluarkan sejumlah wang untuk menduduki semula ujian berkenaan.

Anthony Loke berucap pada Program Khas Lesen PSV Kepada Pemandu E-Hailing Orang Kurang Upaya (OKU) di Kementerian Pengangkutan hari ini. - Foto BERNAMA
Berita Harian X