Isnin, 1 Julai 2019 | 4:36pm
Bekas Naib Presiden UMNO yang juga Ahli Parlimen Sembrong, Datuk Seri Hishammuddin Hussein. - NSTP/Mohd Fadli Hamzah

UMNO diharap tak berpecah kerana Ahmad Zahid kembali

KUALA LUMPUR: Keputusan Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menamatkan tempoh bercuti daripada jawatan Presiden UMNO, diharap tidak menimbulkan perpecahan dalam kalangan ahli parti.

Bekas Naib Presiden UMNO yang juga Ahli Parlimen Sembrong, Datuk Seri Hishammuddin Hussein, berkata kebersatuan ahli yang semakin kuat ketika ini, tidak boleh terjejas kerana keputusan Ahmad Zahid itu.

Katanya, UMNO ketika ini berada dalam posisi yang kukuh berbanding tahun lalu dan isu membabitkan Ahmad Zahid yang jelas terdapat dalam perlembagaan parti, tidak boleh menjadi alasan untuk parti itu kembali berpecah dan goyah.

“Berdasarkan perlembagaan parti, Ahmad Zahid berhak untuk kembali memimpin. Keputusan sudah dibuat, itu hak dia dan penting untuk UMNO melihat kepada kesatuan dan kedudukan parti itu sendiri.

“Jangan perkembangan terkini membuka ruang yang lain untuk kita bertelagah sesama kita.

“Perkara sebegini tidak boleh menjejaskan apa yang kita bina selama setahun, hanya kerana Ahmad Zahid buat keputusan untuk kembali ke pangkuan kepemimpinan parti,” katanya kepada pemberita di lobi Parlimen, hari ini.

Semalam, Ahmad Zahid mengumumkan menamatkan cutinya daripada tugas Presiden sejak 18 Disember tahun lalu dan kembali menjalankan tugas Presiden UMNO berkuat kuasa semalam.

Ahmad Zahid mengumumkan keputusan untuk bercuti selepas Wacana U3.0 ‘Sesi Hati Ke Hati Bersama Presiden UMNO’, dan bersetuju menyerahkan tugasnya kepada Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan.

Tindakan itu dibuat atas alasan demi keutuhan parti serta demi kepentingan pimpinan pada semua peringkat terutama Ahli Parlimen dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) dan UMNO Bahagian.

Sementara itu, Timbalan Presiden PAS, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man ketika ditemui berkata, keputusan Ahmad Zahid itu tidak memberi kesan kepada hubungan dan kerjasama antara PAS dan UMNO.

“Itu isu dalaman UMNO. Persetujuan muafakat politik antara PAS dan UMNO bukan kerana individu, tapi parti dengan parti.

“Siapa pun pimpin UMNO, saya fikir tak ada masalah, kita boleh bincang,” katanya.

Berita Harian X