Selasa, 2 Julai 2019 | 11:25am
MENTERI Pengangkutan Anthony Loke Siew Fook semasa sidang media mengenai Program Khas Lesen PSV Kepada Pemandu E-Hailing Orang Kurang Upaya (OKU) di Kementerian Pengangkutan. - Foto BERNAMA

62 peratus lulus lesen PSV sejak April lalu

KUALA LUMPUR: Seramai 10,151 daripada 16,338 pemohon lulus peperiksaan Lesen Vokasional (PSV - Teksi/E-hailing) sejak permohonan dibuka pada 1 April lalu.

Menteri Pengangkutan, Anthony Loke, berkata jumlah itu dijangka meningkat selaras dengan pengenalan kursus secara atas talian yang dilaksanakan bermula 3 Jun lalu di pusat latihan yang diluluskan.

“Bermula 1 April lalu, pemohon lesen PSV perlu menghadiri kursus teori selama enam jam di pusat latihan memandu yang diiktiraf Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dan menduduki ujian teori sebanyak 60 soalan.

“Setakat ini, sebanyak 62 peratus pemohon lulus ujian itu. Justeru, dakwaan segelintir pihak bahawa hanya 10 hingga 50 peratus sahaja yang lulus (ujian) adalah tidak tepat,” katanya pada sesi Waktu Pertanyaan Menteri (MQT) di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau menjawab soalan Datuk Seri Mahdzir Khalid (BN-UMNO Padang Terap) yang meminta kerajaan menyatakan langkah mitigasi susulan dakwaan Persatuan Pemandu Grab Malaysia yang mendakwa hanya 10 hingga 50 peratus pemandu e-hailing lulus ujian lesen PSV.

Mengulas lanjut, Loke berkata, soalan ujian teori bagi lesen PSV dibangunkan melalui Jawatankuasa Pembangunan Modul Latihan Baharu Pemandu Teksi dan E-Hailing yang terdiri daripada agensi seperti Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan, JPJ serta Jabatan Keselamatan Jalan Raya (JKJR).

“Tahap penilaian soalan yang dibangunkan pula diuji dan dinilai terlebih dahulu supaya menepati suatu pencapaian kompetensi bagi seseorang yang dingin dilesenkan dengan lesen PSV.

“Sehubungan itu, adalah menjadi keperluan seseorang calon untuk memahami modul pembelajaran bagi memastikan calon kompeten ketika menduduki ujian dan bersedia menjadi pemandu kenderaan perkhidmatan awam,” katanya.

Beliau berkata, pemohon membelanjakan kira-kira RM800 bagi memperoleh lesen PSV termasuk kadar lesen, bayaran kursus serta insurans.

Berita Harian X