X
Selasa, 2 Julai 2019 | 11:49am
MENTERI Pembangunan Usahawan, Datuk Seri Mohd Redzuan Md Yusof.. NSTP/Nik Hariff Hassan.
MENTERI Pembangunan Usahawan, Datuk Seri Mohd Redzuan Md Yusof.. NSTP/Nik Hariff Hassan.

Prototaip kereta terbang dilancar seawal Oktober depan

KUALA LUMPUR: Prototaip kereta terbang pertama negara dijangka dilancarkan seawal Oktober depan, kata Menteri Pembangunan Usahawan, Datuk Seri Mohd Redzuan Md Yusof.

Beliau berkata, kenderaan canggih itu antaranya menggunapakai teknologi dron dan kecerdasan buatan (AI) yang kini berkembang pesat.

Katanya, pembuatan dan inovasi kereta itu adalah inisiatif syarikat persendirian tanpa menggunakan wang rakyat.

“Kita menjalinkan kerjasama dengan syarikat berkepakaran dalam industri berkenaan bagi memastikan teknologi digunakan selari dengan inovasi antarabangsa.

“Lebih menarik prototaip kereta terbang berkenaan dibangunkan anak tempatan yang berfikiran jauh ke depan dan bertaraf global,” katanya menjawab soalan Dr Nik Muhammad Zawawi Salleh (PAS-Pasir Puteh) di Dewan Rakyat, hari ini.

Nik Muhammad Zawawi ingin tahu status perkembangan model prototaip kereta terbang pertama negara.

Mohd Redzuan berkata kementeriannya akan berbincang dengan Kementerian Pengangkutan berhubung ruang udara kenderaan itu dan undang-undang ruang udara yang digunakan.

“Kita mungkin menggunapakai undang-undang seperti yang dilaksanakan di Emiriah Arab Bersatu (UAE) yang sudah dilaksanakan sejak tiga tahun lalu,” katanya.

Berita Harian X