Selasa, 2 Julai 2019 | 1:05pm
MENTERI Pengangkutan, Anthony Loke menjawab soalan media selepas keluar dari Persidangan Dewan Rakyat di Bangunan Parlimen. NSTP/Mohd Yusni Ariffin

Ujian PSV pemandu e-hailing mudah lulus

KUALA LUMPUR: Soalan ujian bagi pemandu e-hailing untuk mendapatkan Lesen Vokasional (PSV-Teksi/E-hailing) tidak sukar, sekiranya mereka mengikuti kursus disediakan.

Menteri Pengangkutan, Anthony Loke, berkata kebanyakan pemandu sepatutnya boleh lulus dengan mudah jika mengikuti kursus itu kerana kebanyakan soalan disediakan bersifat logik.

Bagi membuktikan tahap ujian itu, beliau sendiri menduduki ujian berkenaan semalam dan berjaya memperoleh 82 markah, walaupun tidak mengikuti kursus terbabit.

“Semalam, saya cuba menduduki ujian itu sebab saya ingin tahu soalan yang ditanya. Saya lulus dengan mendapat 82 markah.

“Daripada keseluruhan 60 soalan yang diberikan, saya dapat menjawab 49 soalan, walaupun saya tak ikuti kursus itu sebab banyak soalan itu logik.

“Kalau menduduki kursus itu, saya yakin ramai pemandu e-hailing akan lulus. Banyak soalan logik dan memang pemandu semua akan tahu. Kalau tak duduki kursus, memang tak akan tahu.

“Macam saya tak menduduki kursus, memang ada soalan yang saya tak tahu. Ada 11 soalan saya jawab tidak betul sebab tak duduki kursus,” katanya kepada pemberita di lobi Parlimen, hari ini.

Pada 14 Mei lalu, Persatuan Pemandu Grab Malaysia (GDMA) mendakwa kadar kegagalan lulus peperiksaan Lesen Vokasional (PSV-Teksi/E-hailing) sangat tinggi sehingga memaksa pemandu mengeluarkan sejumlah wang untuk menduduki semula ujian itu.

Presiden GDMA, Arif Asyraf Ali, mendakwa 10 hingga 50 peratus saja pemandu yang lulus dalam setiap kelas, serta ada kes di Pulau Pinang yang hanya tujuh pemandu lulus ujian PSV daripada 40 pemandu yang menduduki peperiksaan itu.

Semua pemandu e-hailing diwajibkan untuk memiliki Lesen Vokasional (PSV-Teksi/E-hailing) lengkap dengan perlindungan insurans bermula 12 Julai ini.

Berita Harian X