Selasa, 2 Julai 2019 | 1:08pm
AINUL Mardhiah. - Foto ahmadsafiudinn

Ainul Mardihah semakin aktif

KUALA LUMPUR: Bayi berusia 10 bulan, Ainul Mardhiah Ahmad Safiuddin, kini semakin aktif termasuk memberi reaksi menggeleng kepala jika tidak suka sesuatu perkara selepas menjalani pembedahan membuang ketumbuhan di mulutnya di sebuah hospital di London, 10 Jun lalu.

Bapanya, Ahmad Safiuddin Ahmad Razak, 24, berkata beliau amat bersyukur kerana sepanjang rawatan, anak kesayangannya itu sentiasa menunjukkan reaksi positif.

Katanya, aksi melucukan Ainul Mardhiah juga dilihat sebagai petanda baik bagi pertumbuhan dan tumbesaran seorang bayi.

“Saya dan isteri cukup gembira. Ainul Mardhiah sudah pandai senyum jika kami bermain dengannya. Malah, akan menangis kalau kami pura-pura marah dia.

“Ketika ini anak saya meneruskan rawatan terapi pertuturan dan fisioterapi bagi menguatkan beberapa anggota badannya yang masih lemah.

“Selain itu, tiada perkembangan terbaharu daripada pakar atau hospital yang melakukan rawatan seperti kemoterapi dan radioterapi.

“Saya dan isteri akan menemaninya yang masih menjalani beberapa rawatan susulan mengikut saranan pakar bedah di negara itu,” katanya ketika dihubungi BH Online menerusi aplikasi WhatsApp, di sini hari ini.

Beliau dan isterinya, Nurul Erwani Zaidi, 24, akan terus berada di London menemani anak mereka berikutan Ainul Mardhiah masih menjalani beberapa rawatan susulan mengikut saranan pakar bedah di negara itu.

Safiuddin berkata, beliau berharap anaknya terus kuat melalui dugaan dalam hidupnya selama ini.

“Doa dari masyarakat Malaysia sentiasa dekat dengan kami. Semoga Allah balas budi baik dan jasa baik rakyat negara kita kepada Ainul Mardhiah,” katanya.

Pada 10 Jun lalu, Ainul Mardhiah yang menghidap ‘Germ Cell tumor’ selamat menjalani pembedahan membuang ketumbuhan seberat 200 gram selepas bertarung nyawa selama lima jam.

Baru-baru ini, Ainul Mardihah menerima kunjungan pelawat istimewa iaitu pemimpin nombor satu negara, Tun Dr Mahathir Mohamad.

Berita Harian X