Selasa, 2 Julai 2019 | 6:37pm
TIMBALAN Menteri Kewangan, Datuk Amiruddin Hamzah. - Foto Malai Rosmah Tuah

Levi pelepasan udara berkuat kuasa September

KUALA LUMPUR: Levi pelepasan bagi semua penumpang udara ke luar negara, akan mula berkuat kuasa pada September depan.

Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Amiruddin Hamzah, berkata levi pelepasan yang diumum dalam Bajet 2019 itu akan mula dikuatkuasakan selepas musim haji tahun ini.

Bagaimanapun, katanya, kerajaan belum memutuskan mekanisme pelaksanaannya serta sama ada kadar yang dikenakan berbeza mengikut kelas penerbangan.

“Levi pelepasan ini dijangka mula dilaksanakan selepas musim haji tahun ini, iaitu sekitar September.

“Memang ada cadangan (membezakan kadar levi mengikut kelas penerbangan), dan kita akan pertimbangkan.

“Kita juga ada menerima beberapa cadangan lain. Semua itu akan diambil kira dan dibentangkan kepada Kabinet untuk diputuskan,” katanya kepada pemberita di lobi Parlimen, hari ini.

Beliau berkata demikian ketika ditanya sama ada kadar levi pelepasan bagi semua penumpang udara akan diasingkan mengikut kelas penerbangan yang berbeza.

Pada 28 Jun lalu, sebuah portal berita yang memetik sumber melaporkan, kadar pelepasan udara untuk penerbangan ke negara ASEAN dan lokasi lain, akan diasingkan mengikut kelas ekonomi dan perniagaan.

Portal itu melaporkan, levi pelepasan bagi kelas ekonomi dijangka ditetapkan pada kadar RM8, manakala kelas perniagaan dan kelas pertama adalah RM20 untuk penerbangan ke negara ASEAN.

Bagi penumpang yang mahu ke negara selain ASEAN, akan dikenakan levi pelepasan RM50 untuk kelas ekonomi dan RM150 untuk kelas perniagaan dan kelas pertama.

Dalam pembentangan Bajet 2019, kerajaan bercadang mengenakan levi pelepasan bagi semua penumpang udara ke luar negara, iaitu RM20 ke negara ASEAN dan RM40 ke negara lain mulai 1 Jun 2019 dalam usaha menggalak pembangunan pelancongan domestik.

Rang Undang-undang (RUU) Levi Pelepasan 2019 bagi menguatkuasakan kutipan levi bagi semua penumpang udara itu, dibentang dan diluluskan di Dewan Rakyat pada April lalu.

Berita Harian X