X
Selasa, 2 Julai 2019 | 7:51pm
MENTERI Komunikasi dan Multimedia, Gobind Singh Deo, merasmikan pejabat Pos cawangan Batang Kali. - Foto Zunnur Sl Shafiq
MENTERI Komunikasi dan Multimedia, Gobind Singh Deo, merasmikan pejabat Pos cawangan Batang Kali. - Foto Zunnur Sl Shafiq

KPI untuk telco selesai aduan jalur lebar pinggir bandar

BATANG KALI: Aspek tindakan menyelesaikan aduan pelanggan akan dijadikan Petunjuk Prestasi Utama (KPI) bagi semua syarikat telekomunikasi.

Menteri Komunikasi dan Multimedia, Gobind Singh Deo, berkata satu sistem penambahbaikan perlu diwujudkan berikutan aduan pengguna yang banyak di luar bandar kerana kualiti jalur lebar yang masih lemah.

Katanya, sistem itu adalah untuk menyelesaikan setiap aduan dalam tempoh yang ditetapkan.

Beliau berkata ketika negara mengorak langkah mengembangkan industri e-dagang contohnya, elemen terpenting adalah meningkatkan tahap capaian jalur lebar di semua kawasan.

"Kita memang terima aduan berkaitan perkhidmatan jalur lebar luar bandar, di pinggir bandar dan bandar juga ada masalah dibangkitkan.

“Apa yang perlu ketika ini, kita mesti menambah baik sistem dalam mana kita menangani semua aduan ini.

"Bukan hanya dengan kita membekalkan perkhidmatan yang murah dan laju, tetapi kita juga perlu ada satu sistem apabila ada aduan diterima, aduan itu mesti diselesaikan dalam masa ditetapkan," katanya.

Gobind berkata kementerian sedang memberi keutamaan kepada elemen itu dengan fokus utama menyelesaikan masalah dan aduan yang dibangkitkan pengguna dengan segera.

Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas merasmikan pejabat Pos cawangan Batang Kali di sini semalam.

Gobind diminta mengulas masalah penembusan jalur lebar di kawasan luar bandar yang disuarakan Forum Pengguna Komunikasi dan Multimedia Malaysia (CFM).

Mengikut sistem aduan kualiti liputan CFM, sebanyak 390 aduan pengguna yang tidak berpuas hati mengenai kualiti Internet di pinggir bandar telah diterima sehingga Mei tahun ini manakala sebanyak 387 aduan mengenai perkara sama dilaporkan sepanjang tahun lalu.

Mengulas mengenai perkhidmatan pos, Gobind berkata itu antara perkhidmatan yang paling berkesan serta penting dalam usaha memperkembangkan bidang e-dagang di negara ini.

"Saya sentiasa menekankan perlunya kita melihat bagaimana teknologi boleh membantu perniagaan kita khususnya melalui usaha e-dagang.

"Kita ada pos yang boleh membantu. Satu perkara kita hendak supaya orang ramai menggunakan perkhidmatan pos ini sebagai satu kaedah bagaimana mereka boleh meningkatkan hasil dan pendapatannya," katanya.

Mengulas pembukaan pos di kawasan Batang Kali, beliau menjelaskan ini satu inisiatif dan perkhidmatan yang baik kepada rakyat dalam usaha memudahkan urusan harian mereka di sini.

Berita Harian X