Rabu, 3 Julai 2019 | 1:57pm
TAJUDDIN keluar dari Dewan Rakyat selepas diarahkan keluar oleh Timbalan Speaker pada Sidang Dewan Rakyat di Bangunan Parlimen. - Foto Muhd Zaaba Zakeria
TAJUDDIN keluar dari Dewan Rakyat selepas diarahkan keluar oleh Timbalan Speaker pada Sidang Dewan Rakyat di Bangunan Parlimen. - Foto Muhd Zaaba Zakeria

Gantung sampai mati pun saya tak keluar - Tajuddin

KUALA LUMPUR: “Dia nak gantung sampai mati pun saya takkan keluar.”

Itu kata Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman (BN-UMNO Pasir Salak) yang berdegil enggan akur arahan Timbalan Speaker, Nga Kor Ming yang mengarahnya keluar Dewan Rakyat dan digantung menghadiri sidang selama empat hari.

Tajuddin mendakwa beliau adalah mangsa keadaan kerana Kor Ming bertindak menghalangnya bertanyakan soalan tambahan kepada Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Sim Tze Tzin.

Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO itu turut mendakwa arahan Kor Ming yang menggantungnya selama empat hari, belum berkuat kuasa kerana ia belum diputuskan majlis mesyuarat Dewan Rakyat.

“Saya bebas untuk keluar dan masuk Dewan Rakyat bila-bila yang saya mahu. Dia nak gantung, gantunglah sampai mati pun saya takkan keluar.

“Saya keluar ini sebab nak balik kawasan dan bekerja untuk rakyat. Isunya, Timbalan Speaker halang Ahli Parlimen bertanya soalan bagi pihak rakyat.

“Sama ada saya berkelakuan tak senonoh atau tidak, itu terserah pada rakyat,” katanya kepada pemberita ketika ditemui di lobi Parlimen, hari ini.

Sementara itu, Kor Ming yang ditemui, berkata arahan dikeluarkan adalah berkuat kuasa serta merta.

Beliau turut menegaskan sentiasa berlaku adil apabila menyarung jubah Speaker Dewan Rakyat, serta tidak teragak-agak mengeluarkan arahan sama kepada mana-mana Ahli Parlimen kerajaan yang berkelakuan serupa seperti Tajuddin.

“Kita boleh bertikam lidah, tetapi haruslah secara berhemah. Bukannya berkelakuan seperti samseng, biadap dan kurang ajar,” katanya.

Terdahulu, sidang Dewan Rakyat hari ini kecoh selepas Tajuddin diarah keluar dan digantung selama empat hari daripada menghadiri sidang selepas bertikam lidah dengan Kor Ming.

Kekecohan bermula apabila Tajuddin mempersoalkan ketiadaan Salahuddin ketika ingin bertanyakan soalan tambahan kepada Tze Tzin, sebelum berterusan menimbulkan kekecohan serta mendakwa Kor Ming sebagai memihak (partisan) dan meminta beliau berlaku adil sebagai Timbalan Speaker.

Ketidakpuasan hati Tajuddin memuncak apabila Kor Ming menyifatkan tindakannya itu tidak senonoh dan tidak bertanggungjawab walaupun sudah diberikan masa secukupnya untuk bertanyakan soalan.

Berita Harian X