Rabu, 3 Julai 2019 | 2:18pm
Menteri Pendidikan, Dr Maszlee Malik. - NSTP/Aizuddin Saad

Tiada beza STPM, Matrikulasi untuk masuk UA

KUALA LUMPUR: Kementerian Pendidikan tidak membezakan kelayakan kemasukan ke universiti awam (UA), sama ada menggunakan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) atau Matrikulasi, seperti diiktiraf Agensi Kelayakan Malaysia (MQA).

Sebaliknya, Menterinya, Dr Maszlee Malek, berkata semua calon perlu memenuhi syarat am dan khas program pengajian yang ditetapkan senat universiti masing-masing.

Katanya, kementerian mengamalkan prinsip meritokrasi dalam semua proses kemasukan pelajar ke UA sejak sesi akademik 2002/2003.

Ia mencakupi pengambilan pelajar ke Politeknik dan Kolej Komuniti yang menggunapakai prinsip meritokrasi iaitu 90 peratus markah akademik dan 10 peratus kokurikulum.

“Semua calon yang layak dengan markah merit tertinggi tanpa mengira kaum, agama, negeri, taraf hidup dan tempat tinggal diberikan peluang untuk mengikuti pengajian di UA,” katanya di Dewan Rakyat, hari ini.

Beliau menjawab soalan Datuk Seri Dr Santhara Kumar Ramanaidu (PH-PKR Segamat) yang meminta Menteri Pendidikan menerangkan perbezaan kelayakan akademik antara STPM dan Matrikulasi untuk kemasukan ke UA.

Maszlee berkata, majoriti calon lepasan Matrikulasi mengambil jurusan sains, manakala lepasan STPM pula mengikuti Sastera.

Katanya, tiada nisbah khusus antara calon STPM dan Matrikulasi diberi keutamaan untuk melanjutkan pengajian ke UA kerana syarat am kemasukan ke peringkat ijazah pertama adalah memiliki kelayakan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).

Beliau berkata, bagi penawaran program sarjana muda di Politeknik pula hanya dibuka kepada calon lepasan diploma lanjutan dan diploma Politeknik.

“Untuk sesi akademik 2018/2019, seramai 54,104 calon lepasan STPM dan Matrikulasi memohon kemasukan ke UA menerusi Unit Pusat Universiti (UPU) Online (UPUOnline) yang diselaraskan Bahagian Pengurusan Kemasukan Pelajar, Jabatan Pendidikan Tinggi.

“Daripada jumlah itu, seramai 33,197 atau 61 peratus adalah calon lepasan STPM, manakala selebihnya atau 20,907 orang (39 peratus) lepasan Matrikulasi,” katanya.

Berita Harian X