Rabu, 3 Julai 2019 | 3:25pm
MENTERI di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Liew Vui Keong. - Foto Eizairi Shamsudin

Kos tinggi pasang kamera video pada anggota polis

KUALA LUMPUR: Polis Diraja Malaysia (PDRM) bersetuju kamera video dipasang pada anggotanya ketika melaksanakan tugas penguatkuasaan sebagai usaha membendung amalan rasuah.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Liew Vui Keong, berkata walaupun polis pada amnya bersetuju, kos perolehan kamera video adalah tinggi dan memerlukan kos penyelenggaraan serta penyimpanan data yang berterusan.

“(Oleh itu) Dicadangkan supaya kos berkenaan disalurkan kepada keperluan penugasan polis seperti menukar dan menambah kenderaan kereta peronda di seluruh negara bagi memastikan penugasan dan penyampaian perkhidmatan polis kepada masyarakat lebih cepat dan menyeluruh,” katanya dalam jawapan bertulis di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau menjawab soalan Lim Lip Eng (PH-DAP Kepong) yang mencadangkan supaya polis memasang kamera video pada anggotanya ketika bertugas bagi membendung aktiviti rasuah dalam kalangan anggota keselamatan.

Menjawab soalan Lip Eng berhubung status penubuhan Suruhanjaya Bebas Aduan dan Salah Laku Polis (IPCMC), Vui Keong berkata, kerajaan dalam peringkat akhir menyediakan draf Rang Undang-Undang (RUU) terbabit.

“Draf RUU IPCMC dijangka dibentangkan di Dewan Rakyat pada sesi persidangan Parlimen ini,” katanya.

Media sebelum ini melaporkan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad percaya penubuhan IPCMC bukan saja dapat membela imej PDRM tetapi turut menjaga kebajikan pasukan berkenaan.

Sambil menzahirkan kesyukuran kerana isu bantahan PDRM terhadap penubuhan suruhanjaya itu berjaya diselesaikan, Dr Mahathir dilaporkan berkata, tiada apa yang perlu dikhuatirkan anggota PDRM yang tidak melakukan kesalahan.

Berita Harian X