Khamis, 4 Julai 2019 | 12:48pm
Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Liew Vui Keong. - Arkib NSTP

RUU IPCMC dijangka dibentang pada sesi semasa

KUALA LUMPUR: Rang Undang-Undang (RUU) penubuhan Suruhanjaya Bebas Aduan dan Salah Laku Polis (IPCMC) dijangka dibentang pada sesi persidangan Dewan Rakyat kali ini.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Liew Vui Keong, berkata RUU itu akan dibentangkan sekiranya memorandum mengenainya diluluskan Jemaah Menteri dalam masa terdekat.

“Perbincangan bersama pihak berkepentingan seperti Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Jabatan Peguam Negara juga masih berjalan dengan aktif dan akan dimuktamadkan secepat mungkin,” katanya di Dewan Rakyat, hari ini.

Mei lalu, Tun Dr Mahathir Mohamad dilaporkan berkata, beliau percaya IPCMC bukan sahaja dapat membela imej PDRM, tetapi turut menjaga kebajikan pasukan berkenaan.

Perdana Menteri berkata, tiada apa yang perlu dikhuatirkan bagi anggota PDRM yang tidak melakukan kesalahan.

Beliau turut menzahirkan kesyukuran kerana isu bantahan PDRM terhadap penubuhan suruhanjaya itu berjaya diselesaikan.

Ketua Polis Negara, Datuk Seri Abdul Hamid Bador pula dilaporkan menegaskan perjuangannya dalam penubuhan untuk membela hak dan kebajikan seluruh warga pasukan keselamatan itu.

Katanya, beliau mahu setiap warga PDRM mendapat hak yang sepatut dan setimpal dengan pengorbanan mereka dalam menjalankan tanggungjawab.

Berita Harian X