Khamis, 4 Julai 2019 | 3:02pm

Pelantikan Pengarah INTAN ditarik balik

KUALA LUMPUR: Pelantikan Datuk Seri Iskandar Mohd Kaus sebagai Pengarah Institut Tadbiran Awam Negara (INTAN) yang ke-17 berkuatkuasa pada 1 Julai lalu, di tarik balik.

Perkara itu disahkan Ketua Pengarah Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA), Datuk Seri Borhan Dolah dalam sidang media selepas majlis pelancaran Persidangan Perkhidmatan Awam 2019 di INTAN di sini, hari ini.

Pelancaran persidangan itu disempurnakan, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail.

Sebelum ini, INTAN dalam akaun Facebook rasminya mengucapkan tahniah atas pelantikan Iskandar sebagai Ketua Pengarah berkuatkuasa Isnin lalu.

Bagaimanapun, selepas berita pelantikan itu, tersebar timbul khabar angin menyatakan ia di tarik balik kerana Iskandar pernah berkhidmat sebagai Ketua Setiausaha Sulit bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.

Iskandar dilantik sebagai Ketua Setiausaha Sulit Perdana Menteri menggantikan Shukry Mohd Salleh pada Oktober 2016.

Pelantikan beliau sebagai Pengarah INTAN bagi menggantikan Datuk Suriani Ahmad yang dilantik Ketua Setiausaha Kementerian Komunikasi dan Multimedia (KKMM) berkuat kuasa Isnin lalu.

Borhan bagaimanapun tidak menyatakan sebab penarikan balik pelantikan itu, dan Iskandar akan kembali bertugas ke jawatan asalnya di INTAN.

Beliau berkata, ada beberapa pertimbangan di buat berhubung lantikan itu termasuk tahap profesionalisme dalam perkhidmatan.

“Kita juga mengambil kira perkara berbangkit (berhubung pelantikan Iskandar). Pada mulanya kami merasakan beliau mampu berkhidmat dengan baik di bawah pentadbiran baharu kerajaan,” katanya.

Mengenai pelantikan Pengarah INTAN yang baharu, katanya perkara itu akan diputuskan minggu depan selepas mesyuarat jawatankuasa khas perjawatan.

“Kita ada calon (Pengarah INTAN) sebelum ini. Jadi, calon seterusnya akan ditentukan (untuk pelantikan).

“Pelantikan boleh dibuat selepas itu (mesyuarat jawatankuasa) maknanya selepas itu kita menentukannya (calon pengarah),” tegasnya lagi.

Pelantikan Datuk Seri Iskandar Mohd Kaus sebagai Pengarah INTAN berkuatkuasa pada 1 Julai lalu, di tarik balik. - Arkib NSTP
Berita Harian X