Khamis, 4 Julai 2019 | 3:02pm
Pelajar di negara ini perlu diberi didikan awal mengenai kepentingan industri sawit negara. - Foto hiasan

Didik pelajar kepentingan industri sawit negara

KUALA LUMPUR: Pelajar di negara ini perlu diberi didikan awal mengenai kepentingan industri sawit negara yang berjaya membantu lebih 650,000 pekebun kecil termasuk 112,000 peneroka FELCRA.

Pengerusi FELCRA Berhad (FELCRA), Datuk Nageeb Wahab, berkata pihaknya kesal dengan pementasan program berbentuk propaganda anti sawit di sebuah sekolah antarabangsa, menunjukkan kesan negatif industri sawit terhadap alam sekitar.

Katanya, pementasan yang turut mengaitkannya dengan pemusnahan hutan negara itu menambah tekanan anti sawit dari negara luar sebelum ini, sekali gus menggambarkan kekurangan pengetahuan warga pendidik dan pelajar sekolah berkenaan mengenai industri sawit negara.

Tegas beliau, konsep dan pelaksanaan industri sawit negara diuruskan berlandaskan peraturan kelestarian dan piawaian di bawah pensijilan Minyak Sawit Lestari (MSPO).

“Di samping itu, semua pihak perlu memahami bahawa kelapa sawit adalah tanaman strategik jangka panjang yang berupaya mengimbangi kestabilan ekonomi negara menerusi sumbangannya dalam sektor perladangan,” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.

Baru-baru ini, tersebar satu video selama satu minit 10 saat menunjukkan pelajar sekolah antarabangsa membuat persembahan mendakwa penebangan hutan tanpa kawalan di Malaysia yang menyebabkan kematian Orang Utan berpunca daripada amalan penanaman sawit tidak mapan.

Menteri Industri Utama, Teresa Kok, menyelar sekolah terbabit kerana menyemai kebencian terhadap industri sawit negara dalam kalangan pelajar, yang bertentangan dengan kerja keras kerajaan memulihkan imej industri sawit negara di mata dunia khususnya Eropah.

Mengulas lanjut, Nageeb berkata pihaknya menyokong siasatan Kementerian Pendidikan dan tindakan Kementerian Perusahaan Utama meminta sekolah antarabangsa berkenaan dan semua sekolah lain menghentikan sebarang tindakan yang menimbulkan salah anggap terhadap industri sawit negara.

“FELCRA berharap kerajaan akan mewujudkan lebih banyak elemen pendidikan mengenai kelestarian industri sawit negara supaya pelajar dan warga pendidik lebih memahami mengenai industri ini serta boleh mengelakkan masalah sama berulang,” katanya.

Sementara itu, Presiden Persatuan Kebangsaan Pekebun-Pekebun Kecil Malaysia (PKPKM), Datuk Aliasak Ambia, berkata tindakan sekolah itu tidak selari dengan langkah kerajaan dan pihaknya sejak lapan tahun lalu untuk memperbetulkan stigma masyarakat terhadap industri sawit negara.

“PKPKM sejak 2011 bersama kerajaan dalam pelaksanaan pensijilan Rundingan Meja Bulat Mengenai Minyak Sawit Mampan (RSPO) dan kini MSPO selain mengadakan jelajah bagi membetulkan persepsi masyarakat mengenai industri sawit dan menerangkan kebaikannya kepada masyarakat.

“Tindakan dilakukan sekolah itu akan memberi kesan buruk jangka panjang kepada negara jika tidak diambil tindakan” katanya.

Pihaknya juga menyokong penuh kenyataan Ketua Pengarah Pelajaran, Datuk Dr Amin Senin untuk mengambil tindakan terhadap sekolah itu bagi memberikan pengajaran kepada sekolah antarabangsa itu supaya tidak sewenang-wenangnya mengadakan program bertentangan dengan dasar negara.

“PKPKM juga mencadangkan kerajaan melalui Kementerian Industri Utama dan Kementerian Pendidikan mengadakan kerjasama dengan mewajibkan ‘Kempen Sayangi Sawitku’ sebagai program khas di semua sekolah di negara ini bagi memupuk persepsi yang betul,” katanya.

Berita Harian X