Khamis, 4 Julai 2019 | 3:31pm

Kuota haji tambahan dalam masa terdekat - Mujahid

SEPANG: Malaysia dijangka menerima kuota haji tambahan dalam masa terdekat bagi musim haji tahun ini.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Mujahid Yusof Rawa, berkata beliau ada menerima perkhabaran gembira bahawa permohonan Malaysia membabitkan penambahan kuota haji akan ditunaikan.

Katanya, perkara berkenaan dijadikan isu politik sedangkan hak memberi kuota haji adalah di bawah kuasa kerajaan Arab Saudi untuk menentukan bilangan yang boleh diberi kepada sesebuah negara.

“Alhamdulillah, kita sentiasa berunding dengan Arab Saudi dan saya dengar di hujung telinga, ia adalah berita baik. Semua pihak perlu terus berdoa kerana apa yang saya dengar dari jauh, ia adalah berita baik.

“Saya akan buat yang terbaik dan tidak akan kecewakan mereka yang ingin membuat haji.

“Sekiranya sudah ada keputusan rasmi, saya akan maklumkan kepada semua,” katanya selepas meninjau proses pelepasan kumpulan kedua (KT02) membabitkan 483 jemaah haji di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) di sini hari ini.

Pada tahun ini seramai 30,200 jemaah Malaysia akan mengerjakan haji membabitkan 81 penerbangan sewa khas menggunakan 40 pesawat Malaysia Airlines dan 41 pesawat Flynas dengan penerbangan terakhir pada 4 Ogos.

Ketika ditanya sama ada Lembaga Tabung Haji (TH) bersedia dengan berita terbabit, Mujahid berkata TH sudah mempunyai rancangan sekiranya Arab Saudi memberi khabar gembira mengenai tambahan kuota haji.

“Jika ada penambahan, TH akan meluluskan rayuan sedia ada bagi membolehkan mereka ini dapat menunaikan haji. Kita akan bincang lebih teknikal dengan TH untuk keperluan tambahan,” katanya.

Mei lalu, Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad, sudah mengutus surat rasmi kepada kerajaan Arab Saudi memohon kuota tambahan haji sebanyak 10,000 musim haji tahun ini.

Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif TH, Datuk Seri Zukri Samat, berkata sekiranya gagal mendapatkan 10,000 kuota tambahan, 8,000 kuota pun sudah memadai supaya dapat memendekkan tempoh menunggu bakal jemaah yang lain.

Pada 4 Mei lalu, Mujahid, dilaporkan berkata kerajaan Arab Saudi tidak mempunyai tarikh tepat untuk memberikan jawapannya berhubung kuota tambahan bagi jemaah pada musim haji tahun ini.

Mujahid melihat jemaah Malaysia, Hassan Zaini melalui sistem biometrik Jabatan Imigresen ketika meninjau proses pelepasan kumpulan kedua di KLIA, hari ini. - NSTP/Luqman Hakim Zubir
Berita Harian X