Jumaat, 5 Julai 2019 | 10:49am

Berbekal RM30 kini pendapatan RM10,000

ROMPIN: “Dalam kesukaran hidup ketika itu, saya nekad menerima tawaran dan membawa keluarga berpindah mendiami tanah rancangan FELDA Selancar pada 1989, meskipun dalam poket hanya ada RM30,” imbas peneroka, Fadzel Ahmad.

Fadzel, 60, yang juga bapa kepada lapan anak berkata, kesukaran hidup ketika itu dipendam dalam dirinya, tetapi pada masa sama bertekad memajukan diri dan keluarganya.

“Sebelum berhijrah ke tanah rancangan ini, saya sempat bertugas sebagai tentera dalam Kor Jurutera Elektrik dan Jentera, sebelum menamatkan perkhidmatan pada 1982. Kemudian saya memohon menjadi peneroka. Alhamdulillah, permohonan itu diterima dan ditempatkan ke FELDA ini.

“Kalau dikenang kembali perjalanan hidup saya, memang terasa sebak. Saya tidak pernah menceritakan kisah ini kepada sesiapa pun, hanya saya dan isteri saya sahaja yang tahu bagaimana kehidupan kami pada waktu itu.

“Selain rezeki diberikan Allah, boleh saya katakan apa yang saya ada pada hari ini bermula di FELDA Selancar 3.

“Saya tak ada apa-apa pun sebelum ini, hanya berbekalkan RM30 ketika mula menjejakkan kaki ke sini,” katanya ketika ditemui BH di kandang ternakannya dekat FELDA Selancar 3, di sini, semalam.

Fadzel memberi makan lembunya di FELDA Selancar 3. - NSTP/Badrul Kamal Zakaria

Fadzel yang berasal dari Guar Cempedak, Kedah, berkata selepas menjadi peneroka, dia cuba meningkatkan taraf kehidupan keluarganya dengan turut mengusahakan bengkel kenderaan secara kecil-kecilan.

“Pengalaman bertugas dalam tentera dahulu, saya cuba praktikkan sebaiknya.

“Oleh kerana tanah rancangan ini masih baharu, saya gunakan pengalaman saya di Kor Jurutera Elektrik dan Jentera untuk membaik pulih kenderaan.

“Hasil pendapatan bengkel, saya simpan sedikit demi sedikit sebelum menceburkan diri dalam bidang penternakan pada 1995.

“Saya memang berminat dalam bidang ini kerana masa muda dahulu, saya sering membantu orang tua menjaga ternakan milik keluarga, walaupun sekadar seekor dua sahaja,” katanya.

Fadzel berkata, pada peringkat awal, beliau hanya melakukan perusahaan ternakan ini secara kecil-kecilan sahaja, sebelum serius kerana mendapat inspirasi daripada Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad.

“Saya bermula dengan seekor lembu sahaja ketika mula menternak dahulu, sebelum menyimpan duit hasil bengkel untuk menambah beberapa ekor lagi ternakan dalam tempoh tiga hingga empat tahun, sehingga memiliki kira-kira 30 ekor lembu.

“Tidak lama selepas itu, Dr Mahathir ketika menjadi Perdana Menteri, menyarankan penternakan lembu diusahakan dalam estet dan tanah rancangan.

“Saya kemudian menjual semua lembu yang ada itu untuk membina kandang yang lebih bersistematik.

“Apabila kandang siap, saya mempelbagaikan usaha dengan membeli, serta menjual lembu.

“Cuma ketika itu saya mula menyimpan dan menternak lembu yang cantik dari baka baik, sebelum dilepaskan meragut secara bebas dalam kawasan ladang sekitar FELDA ini,” katanya.

Pengarah Besar FELDA, Datuk Dr Othman Omar (kanan) beramah mesra bersama Fadzel (dua dari kiri) dan anaknya, Mohd Fairus Fadzel, 33, (kiri) di FELDA Selancar 3. - NSTP/Mohamad Shahril Badri Saali

Selepas 24 tahun menceburi bidang penternakan, beliau kini boleh berbangga kerana usaha dan penat jerihnya selama ini nyata berbaloi, apabila memiliki kira-kira 500 ekor haiwan ternakan terdiri daripada lembu dan kerbau.

“Alhamdulillah, perniagaan ini agak laris juga terutama ketika musim perayaan. Lagi pun, bekalan daging tempatan dalam pasaran negara memang tidak mencukupi dan saya juga mempunyai pelanggan di serata tempat kerana bukan hanya di Pahang, tetapi juga dari Johor, Melaka, Selangor dan banyak lagi.

“Permintaan meningkat terutama ketika musim perayaan seperti Aidilfitri dan Aidiladha. Begitu juga pada musim cuti sekolah kerana banyak kenduri kahwin diadakan.

“Saya juga menjual haiwan ternakan ini secara pukal kepada peniaga runcit dan setiap urus niaga dibuat di kandang ini.

“Alhamdulillah, pendapatan kasar purata kini mampu menjangkau RM10,000 sebulan,” katanya.

Dia yang kini dibantu anak keempatnya, Mohd Fairus, 32, berkata ternakan yang diusahakan ketika ini dibuat menggunakan dua pendekatan, iaitu ternakan dibiar meragut secara bebas dalam ladang, serta menggunakan kandang sebagai lokasi fidlot sebelum dijual kepada pelanggan.

“Harga jualan lembu dan kerbau berbeza, kerana dibuat mengikut berat timbangan tetapi secara purata sekitar RM3,000 seekor.

“Sebelum ini, saya pernah menternak kambing tetapi ketiadaan kakitangan yang cukup untuk membantu, menyebabkan saya memberi tumpuan kepada ternakan lembu serta kerbau sahaja.

“Alhamdulillah, kini anak keempat turut membantu saya sebaik menghabiskan pengajian Diploma Perakaunan di universiti awam (UA).

“Syukur kerana dia berminat dengan perniagaan ini yang secara tidak langsung dapat membantu saya,” katanya.

Pengarah Besar FELDA, Datuk Dr Othman Omar (kanan) beramah mesra bersama Fadzel (dua dari kiri) dan anaknya, Mohd Fairus Fadzel, 33, (kiri) di FELDA Selancar 3. - NSTP/Mohamad Shahril Badri Saali

Fadzel juga bukan sahaja menjadi ikon usahawan dalam kalangan penduduk setempat, tetapi juga seorang bapa yang berjaya dalam memberi pendidikan dan kehidupan yang lebih baik kepada lapan anaknya.

“Anak sulung saya kini bekerja dengan Petronas, manakala anak kedua dan ketiga menguruskan perniagaan masing-masing.

“Anak keempat, iaitu Mohd Fairus ini membantu saya dalam perniagaan penternakan ini sebaik selesai diploma.

“Anak kelima saya bertugas sebagai jurutera perumahan di Kuala Lumpur, anak keenam berkhidmat dengan Penerbangan Malaysia (MAS), manakala yang ketujuh pula dalam bidang perisian komputer.

“Anak bongsu yang juga satu-satunya anak perempuan sedang melanjutkan pengajian bidang farmasi di Universiti Malaya.

“Secara jujurnya ketika mereka bersekolah, saya tidak pernah meminta bantuan daripada mereka untuk menguruskan perniagaan.

“Bagi saya, masa untuk belajar, mereka mesti belajar bersungguh-sungguh dan anak keempat saya ini pula sebab dia minat dan juga sebab sudah habis belajar,” katanya.

Ditanya sama ada cita-citanya yang ditanamkan dalam dirinya sudah tercapai, Fadzel mengakui, masih ada beberapa impian yang sedang diburunya dan berharap ia akan dapat direalisasikan.

“Cita-cita saya seterusnya ingin mengusahakan perniagaan daging sejuk beku pula. Selain itu, saya ingin mengeluarkan baka lembu dan kerbau sendiri serta memperluaskan kawasan ternakan selepas ini.

“Saya harap pengurusan FELDA dapat membantu terutama berkaitan aspek pemasaran.

“Setidak-tidaknya ia boleh dipasarkan di kawasan FELDA lain di seluruh negara, kerana setiap tanah rancangan ini mempunyai kedai runcit D-Mart. Itulah antara impian saya,” katanya.

Fadzel (tengah) memberi makan lembunya di FELDA Selancar 3. - NSTP/Badrul Kamal Zakaria
Berita Harian X