X
Sabtu, 6 Julai 2019 | 4:08pm
JUAN Aranols (tiga dari kiri) bersama sukarelawan pada Program Pembersihan Pantai anjuran Nestle di Pantai Remis, Kuala Selangor. - Foto Faiz Anuar
JUAN Aranols (tiga dari kiri) bersama sukarelawan pada Program Pembersihan Pantai anjuran Nestle di Pantai Remis, Kuala Selangor. - Foto Faiz Anuar

Nestle sasar 100 peratus pembungkus produk boleh kitar semula pada 2025

KUALA SELANGOR: Syarikat pengeluar makanan dan minuman, Nestle Malaysia komited dalam menangani masalah sisa plastik serta mensasarkan 100 peratus bahan pembungkusan produknya boleh dikitar semula menjelang 2025.

Ketua Pegawai Eksekutif Nestle Malaysia, Juan Aranols, berkata sehingga kini, 65 peratus pembungkus produk keluaran syarikat itu boleh dikitar semula, malah pihaknya akan menghentikan penggunaan produk sekali guna seperti penyedut minuman plastik di tempat kerja mereka bermula September depan.

“Nestle sentiasa mencari cara dan kaedah inovatif untuk merintis bahan alternatif bagi membentuk masa depan yang bebas sisa plastik serta mewujudkan sikap yang lebih bertanggungjawab.

“Justeru, melalui program pembersihan pantai yang berlangsung serentak di sembilan lokasi lain termasuk Pantai Remis ini, kita dapat memberi impak positif terhadap alam sekitar,” katanya ketika menghadiri Program Pembersihan Pantai Nestle Dan Malaysian Nature Society (MNS), di sini hari ini.

Turut hadir Presiden MNS, Prof Dr Ahmad Ismail.

JUAN Aranols (kiri) bersama sukarelawan pada Program Pembersihan Pantai anjuran Nestle di Pantai Remis, Kuala Selangor. - Foto Faiz Anuar
JUAN Aranols (kiri) bersama sukarelawan pada Program Pembersihan Pantai anjuran Nestle di Pantai Remis, Kuala Selangor. - Foto Faiz Anuar

Juan berkata, program berkenaan disertai lebih 600 kakitangan Nestle dan turut diadakan beberapa lokasi lain seperti Pantai Morib (Selangor); Pantai Cermin, Port Dickson (Negeri Sembilan); Pantai Robina, Teluk Air Tawar (Pulau Pinang); Pantai Sepat, Kuantan (Pahang); Pulau Perhentian (Terengganu); Pantai Batu Layar (Johor); Pantai Santubong (Sarawak) dan Pantai Kudat (Sabah).

Katanya, menerusi program itu, Nestle berharap ia dapat dijadikan contoh kepada syarikat lain supaya turut sama menjalankan program berkenaan untuk membantu memelihara alam sekitar serta hidupan laut.

Sementara itu, Dr Ahmad berkata, pihaknya berbesar hati untuk bekerjasama dengan Nestle bagi menjayakan program pembersihan pantai berkenaan.

“Nestle adalah sebuah syarikat multinasional terbesar di negara ini dan kami amat berbesar hari dapat turut serta dalam program ini.

“Ini adalah contoh terbaik bagaimana sebuah syarikat serta komuniti menjalankan tugas mereka dalam memelihara alam sekitar malah kami berharap kerjasama ini dapat dikukuhkan lagi terutamanya dalam usaha kami memulihara alam sekitar,” katanya.

Berita Harian X