Ahad, 7 Julai 2019 | 12:58pm
TUN Dr Mahathir bersama Mohamed Azmin pada majlis Sambutan Hari Peneroka Kebangsaan 2019 di Padang Awam, Felda Selancar 3, Rompin. NSTP/Mahzir Mat Isa
TUN Dr Mahathir bersama Mohamed Azmin pada majlis Sambutan Hari Peneroka Kebangsaan 2019 di Padang Awam, Felda Selancar 3, Rompin. NSTP/Mahzir Mat Isa

Kerajaan salur RM1b untuk jayakan PPP FELDA

ROMPIN: Kerajaan memperuntukkan geran RM1 bilion untuk Program Pembangunan Peneroka (PPP) FELDA bagi meningkatkan pendapatan peneroka melalui hasil tanaman baharu.

Peruntukan itu akan disalurkan secara berperingkat selama tempoh empat tahun.

FELDA dalam satu kenyataan menjelaskan, PPP adalah satu daripada inisiatif terbaharu di bawah Model Baharu FELDA yang dibentang kerajaan sebelum ini, dilaksana dengan tujuan mengelakkan warga peneroka daripada bergantung kepada tanaman sawit semata-mata.

Ini susulan harga sawit yang ketika ini tidak stabil disebabkan persaingan sengit daripada negara jiran serta tindakan diskriminasi Kesatuan Eropah (EU).

“PPP merangkumi aktiviti yang berasaskan program tanaman selingan dan ternakan yang mampu mengeluarkan hasil dalam tempoh singkat selain berupaya menjana tunai secara konsisten,” kata kenyataan itu.

Pelancaran PPP disempurnakan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad sempena Sambutan Hari Peneroka FELDA peringkat kebangsaan 2019 di FELDA Selancar Tiga, di sini hari ini.

Yang turut hadir, Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali; Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail; Pengerusi FELDA, Tan Sri Mohd Bakke Salleh serta Pengarah Besar FELDA, Datuk Dr Othman Omar.

FELDA menurut kenyataan itu juga mengambil langkah proaktif dengan memeterai beberapa MoU antaranya Encorp Berhad yang bertindak mewakili kumpulan FELDA dengan Amanrata Bismi Sdn Bhd dengan Next Gen Agrigroup Pte Ltd untuk kerjasama ladang berteknologi tinggi.

Berita Harian X