Ahad, 7 Julai 2019 | 10:06pm
ANTARA aktiviti ‘Caring Forest For Our City anjuran SPAN dan Universiti Putra Malaysia di Sultan Idris Shah Foresr Education Center. - Foto Muhd Zaaba Zakeria

Pembangunan perlu disertakan kesedaran konservasi hutan

PUCHONG: Kemajuan sektor pembangunan negara perlu disertakan dengan kesedaran terhadap konservasi hutan dan air secara mampan bagi mengimbangi ekonomi dan pengurusan biodiversiti perhutanan.

Timbalan Dekan Fakulti Perhutanan Universiti Putra Malaysia (UPM), Prof Madya Dr Azlizam Aziz, berkata pencemaran yang berlaku ketika ini berpunca daripada kurang kesedaran masyarakat termasuk pihak pemaju mengenai kepentingan memelihara hutan.

Katanya sungai yang bersih adalah petunjuk kepada hutan yang sihat dan ia sekali gus mampu mengekalkan kualiti air bagus kepada masyarakat.

“Kita tidak rasa ada keperluan untuk menjaga hutan mahupun air kerana kita mudah dapat sumber itu malah diperoleh pada harga murah.

“Tidak kurang juga yang berpendapat jika kita pemeliharaan hutan ini diteruskan maka tiada pembangunan. Hakikatnya pembangunan boleh dilaksanakan dengan konservasi perhutanan.

“Justeru pendidikan awal ini perlu didedahkan kepada generasi baharu selain semua pihak turut mengambil peranan dalam usaha konservasi ini,” katanya kepada media selepas menghadiri program ‘Siswa Rakan SPAN’ di Pusat Pendidikan Perhutanan Sultan Idris Shah (SISFEC), di sini, hari ini.

Program terbabit adalah kerjasama UPM dengan pihak Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) dalam usaha memperluaskan mesej konservasi air di dalam kalangan pelajar.

Turut hadir merasmikan program, Pengarah Kanan Bahagian Perkhidmatan Korporat SPAN, Zarina Sulieman.

Sementara itu, Zarina berkata program Siswa Rakan SPAN yang membabitkan pelajar Fakulti Perhutanan UPM itu bertujuan mendidik generasi baharu berhubung kepentingan konservasi air.

“UPM adalah rakan kedua bagi program ini dalam usaha kami menggalakkan penggunaan pili cekap air.

“Pili cekap air ini adalah air bersih yang sudah dirawat serta penggunaannya mampu menjimat air secara mampan,” katanya.

Terdahulu lebih 150 peserta program didedahkan dengan taklimat berkenaan Skim Pelabelan Produk Cekap Air (SPPCA) dan kaedah asas pengauditan air oleh SPAN.

Sejumlah 43 pili air di kawasan SISFEC sudah ditukar kepada pili jenis cekap air dengan penarafan tiga bintang.

Ia bertujuan bagi memperluaskan penggunaan produk cekap air di premis seluruh negara.

SPAN mensasarkan untuk memperluaskan program Siswa Rakan SPAN di Institusi Pengajian Tinggi Awam dan Swasta.

Berita Harian X