Isnin, 8 Julai 2019 | 1:31pm
Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Mohamed Hanipa Maidin (empat, kiri) bergambar bersama Pengerusi Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (SUHAKAM) Tan Sri Othman Hashim (empat, kanan) dan Duta Besar Denmark Ke Malaysia Jesper Vahr (tiga, kiri) ketika Dialog Serantau Penyertaan Malaysia Kepada Konvensyen Menentang Penyeksaan Dan Layanan Atau Hukuman Lain Yang Zalim, Tidak Berperikemanusiaan Atau Menjatuhkan Maruah (UNCAT) hari ini. - NSTP/Salhani Ibrahim

Hanya buang perkataan mandatori, bukan hapus hukuman mati - Hanipa

KUALA LUMPUR: Pindaan terhadap undang-undang bagi memansuhkan hukuman mati mandatori bukan bermakna hukuman itu tidak boleh dijatuhkan terhadap pesalah.

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang), Mohamed Hanipa Maidin, berkata hanya perkataan ‘mandatori’ yang dicadang untuk dihapuskan, bukannya hukuman itu.

Katanya, pemansuhan itu bukannya terpakai untuk semua kesalahan sebaliknya hanya membabitkan sembilan kesalahan di bawah Kanun Keseksaan dan dua kesalahan di bawah Akta Senjata Api (Penalti Lebih Berat) 1971.

“Dalam manifesto Pakatan Harapan (PH), kita nak buang perkataan ‘mandatori’ saja, bukannya hukuman itu dimansuhkan terus sebab kalau hapuskan, bermakna hukuman itu tak dibenarkan langsung.

“Ada sesetengah kesalahan yang undang-undangnya masih dijadikan mandatori (hukuman gantung).

“Inilah masalah kita di Malaysia. Mereka tak faham, bila tak faham mulalah salahkan kita, sama juga seperti Konvensyen Antarabangsa Mengenai Penghapusan Segala Bentuk Diskriminasi Kaum (ICERD) dulu yang menjadi perdebatan banyak pihak, termasuk dalam kalangan Ahli Parlimen,” katanya kepada pemberita.

Terdahulu, beliau merasmikan Dialog Serantau penyertaan Malaysia dalam Konvensyen Menentang Penyeksaan Dan Layanan Atau Hukuman Lain Yang Zalim, Tidak Berperikemanusiaan Atau Menjatuhkan Maruah (UNCAT) di Hotel Renaissance, di sini, hari ini.

Hanipa berkata, pihaknya bagaimanapun tidak menyalahkan masyarakat yang tidak faham dengan apa yang cuba dilaksanakan kerajaan kerana mereka kurang didedahkan kepada perkara sedemikian.

“Justeru, media perlu memainkan peranan penting dalam memberi penjelasan dan pemahaman selain pihak berkepentingan lain,” katanya.

Minggu lalu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Liew Vui Keong, memberitahu bahawa Rang Undang-Undang (RUU) bagi memansuhkan hukuman mati mandatori dijangka dibentangkan di Dewan Rakyat, minggu ini.

Beliau berkata, pindaan itu akan membuang perkataan ‘mandatori’ dan kemungkinan menggantikannya dengan hukuman penjara seumur hidup atau penjara 30 tahun.

Bagaimanapun, katanya pindaan berkenaan tidak termasuk hukuman mati di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952, yang akan dilihat secara berasingan.

Cadangan kerajaan itu mendapat bantahan daripada banyak pihak termasuk Badan Bukan Kerajaan (NGO) dan keluarga mangsa bunuh yang beranggapan pemansuhan hukuman itu sebagai tidak adil kepada mereka yang kehilangan ahli keluarga akibat perbuatan kejam oleh individu tidak berperikemanusiaan.

Berita Harian X