Isnin, 8 Julai 2019 | 4:23pm
Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang), Mohamed Hanipa Maidin (depan, dua dari kanan) bersama Pengerusi SUHAKAM, Tan Sri Othman Hashim (depan, dua dari kiri); Ahli Jawatankuasa Menentang Penyeksaan (CAT), Abdelwahab Hani (depan, kiri) dan Duta Besar Denmark Ke Malaysia, Jesper Vahr (depan, kanan) pada Dialog Serantau penyertaan Malaysia dalam UNCAT, di Kuala Lumpur, hari ini. - NSTP/Salhani Ibrahim

Tidak boleh terburu-buru meratifikasi UNCAT

KUALA LUMPUR: Kerajaan tidak boleh terburu-buru membuat keputusan meratifikasi Konvensyen Menentang Penyeksaan Dan Layanan Atau Hukuman Lain Yang Zalim, Tidak Berperikemanusiaan Atau Menjatuhkan Maruah (UNCAT).

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang), Mohamed Hanipa Maidin, berkata banyak perkara perlu diambil kira selain berbincang dengan semua pihak berikutan wujudnya percanggahan dan berbalahan berhubung undang-undang sivil, syariah serta hak asasi manusia.

Katanya, pengalaman ketika ratifikasi Konvensyen Antarabangsa Mengenai Penghapusan Segala Bentuk Diskriminasi Kaum (ICERD) tidak lama dulu perlu dijadikan iktibar, dan perkara sama tidak harus berulang

“Justeru, kerajaan perlu berhati-hati kali ini sebelum apa-apa tindakan diambil untuk meratifikasi UNCAT.

“Bagi pihak Barat, mereka mengatakan hukuman sebat adalah satu bentuk penyeksaan yang bertentangan dengan hak asasi manusia tetapi bagi golongan Islam, hukuman ini adalah sebahagian daripada kandungan al-Quran.

“Sebab itu kena bincang, perlu ada mereka di lapangan bagi memperjelaskan dalam bahasa yang mudah, bukan saja kepada orang awam, tetapi juga pihak lain seperti Ahli Parlimen dan peguam sebab ada antara mereka yang tidak faham instrumen berkenaan hak asasi manusia,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas merasmikan Dialog Serantau penyertaan Malaysia dalam UNCAT anjuran Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (SUHAKAM) di sini, hari ini.

Yang turut hadir, Pengerusi SUHAKAM, Tan Sri Othman Hashim dan ahli Jawatankuasa Menentang Penyeksaan (CAT), Abdelwahab Hani.

Kata Mohamed Hanipa, percanggahan pendapat seperti yang berlaku hari ini bukanlah halangan kepada proses ratifikasi, sebaliknya ia lebih kepada cabaran bagaimana mahu memperjelaskan hal itu supaya ia tidak menyinggung atau menyentuh sensitiviti mana-mana pihak.

“Jika difahami, ada pengecualian dalam UNCAT ini, sebab itu saya kata kena bincang. Kalau diperjelaskan betul-betul apa sebenarnya UNCAT ini, saya pasti mereka (masyarakat dan pihak yang berbalah) boleh terima.

“Tetapi, masalahnya, dari awal lagi kedua-dua pihak sudah keluarkan kenyataan. Yang perjuangkan Islam kata ini (UNCAT) produk Barat, Barat pula kata ia berkenaan hak asasi manusia dan terpakai untuk semua termasuk hukum Islam,” katanya.

Ditanya sama ada kerajaan menetapkan tempoh untuk meratifikasi UNCAT, beliau berkata tiada tempoh masa ditetapkan kerana setakat ini belum ada sebarang keputusan dibuat mengenainya.

“Perkara ini hanya boleh diputuskan oleh Kabinet, tetapi sehingga kini kita belum putuskan apa-apa lagi. Kita sudah ada berpengalaman dengan ICERD, yang mana kita ratifikasi tetapi selepas itu ditarik balik. Jadi, kita tak mahu perkara sebegitu terjadi lagi.

“Bagaimanapun, secara peribadi, saya tak ada masalah dengan UNCAT tetapi dalam kerajaan sekarang, kena berhati-hati dan ambil kira semua faktor,” katanya.

Sementara itu, Othman berkata pihaknya mengakui wujud perbalahan dalam kalangan banyak pihak berkenaan UNCAT.

Justeru, katanya, sesi dialog membabitkan pihak berkaitan bagi meningkatkan pemahaman serta memperjelaskan mengenai konvensyen itu serta pentingnya penyertaan Malaysia di dalamnya perlu diperjelaskan.

“Dialog ini adalah sebahagian daripada usaha dan komitmen berterusan SUHAKAM bagi membina persefahaman, keyakinan dan kepercayaan orang awam ke arah menzahirkan matlamat memperjuangkan penyertaan Malaysia dalam UNCAT pada masa depan,” katanya.

Berita Harian X