X
Selasa, 9 Julai 2019 | 9:33am
Nurul Shuhada muncul satu-satunya pelajar wanita yang mendapat keputusan CGPA melebihi 3.5 dalam kelas.
Nurul Shuhada muncul satu-satunya pelajar wanita yang mendapat keputusan CGPA melebihi 3.5 dalam kelas.

Jantina tak halang sertai program VISTA PETRONAS

Dungun: Kepercayaan tradisi, bidang kejuruteraan adalah untuk lelaki tidak lagi relevan pada era Revolusi Perindustrian 4.0 kerana penyertaan wanita dalam bidang ini mula menunjukkan peningkatan ketara.

Pelajar tahun akhir, Diploma Kejuruteraan Mekanikal Politeknik Sultan Mizan Zainal Abidin, Dungun (PSMZA), Nurul Shuhada Abdullah, 22, berkata persepsi bahawa bidang mekanikal sering dikaitkan dengan kerja lasak, berat dan tidak sesuai untuk wanita bukan penghalang untuknya menceburkan diri dalam bidang itu.

Anak bongsu kepada bekas tukang kebun sekolah itu menegaskan, pembabitannya di dalam bidang kejuruteraan juga sama sekali tidak menghilangkan sifat kewanitaan.

“Saya mungkin hanya kasar di dalam bengkel atau makmal sahaja kerana untuk mengendalikan peralatan mesin dan alat kimpalan sememangnya memerlukan sedikit tenaga tambahan,” katanya.

Nurul Shuhada berkata, beliau teruja pada hari pertama mendaftar sebagai pelajar PSMZA. Pergaulan dengan tiga abang semenjak kecil, membentuk minatnya untuk menceburi bidang dimonopoli lelaki.

“Daripada 35 pelajar di dalam kelas, hanya 10 pelajar wanita. Jumlah kecil itu menyebabkan kami terpaksa menyertai kumpulan lelaki terutamanya untuk aktiviti tugasan kumpulan,” katanya.

Ternyata, cabaran dihadapi menjadi pendorong untuk membuktikan kemampuan. Hasilnya, Shuhada adalah satu-satunya pelajar wanita memperoleh keputusan Gred Terkumpul Purata (CGPA) melebihi 3.5 di dalam kelas.

“Sepanjang pengajian, kami juga menerima kunjungan tenaga pakar dari PETRONAS yang sentiasa memberi pendedahan mengenaii peralatan terkini digunakan di dalam industri. Sesi itu menguatkan azam untuk meneruskan minat menyambung pengajian di peringkat ijazah, seterusnya mencapai cita-cita menjadi Jurutera Mekanikal di dalam bidang minyak dan gas,’’ katanya.

Pensyarah Jurusan Mekanikal PSMZA, Mohd Nasruddin Musa, berkata tiada layanan berbeza kepada golongan wanita yang mengambil jurusan itu. Semua pelajar perlu bersaing melaksanakan kerja kursus yang diarahkan seperti aktiviti amali, gegas, pemesinan dan kimpalan.

Berpengalaman 17 tahun sebagai pensyarah dalam jurusan mekanikal, Nasruddin berkata, secara purata, kira-kira 35 peratus pelajar setiap ambilan adalah wanita.

Katanya, pelajar wanita umumnya lebih teliti, sistematik di dalam pembelajaran dan mempunyai peluang sama untuk berjaya. Ada yang melanjutkan pelajaran hingga ke peringkat sarjana dan memegang jawatan sebagai pensyarah.

Bincang - Shuhada sentiasa merujuk kepada Pensyarahnya Mohd Nasruddin Musa. Pelajar tahun akhir Diploma Kejuruteraan Mekanikal Politeknik Sultan Mizan Zainal Abidin, Dungun (PSMZA), Nurul Shuhada Abdullah, 22.
Bincang - Shuhada sentiasa merujuk kepada Pensyarahnya Mohd Nasruddin Musa. Pelajar tahun akhir Diploma Kejuruteraan Mekanikal Politeknik Sultan Mizan Zainal Abidin, Dungun (PSMZA), Nurul Shuhada Abdullah, 22.

Nasruddin berkata, sebagai sebuah institusi di bawah Program Bantuan Penajaan dan Latihan Institut Vokasional (VISTA) yang menawarkan bidang berkaitan industri minyak dan gas, politeknik berkenaan menerima pelbagai bentuk sokongan daripada PETRONAS.

Sebagai ahli Panel Penasihat Industri, PETRONAS berperanan memberi input baharu berkaitan industri kepada program yang ditawarkan di politeknik.

Selain menjalankan kerja penyelenggaraan peralatan bengkel, PETRONAS juga memberikan pelbagai pendedahan berkaitan industri kepada pelajar dan pensyarah PSMZA.

Ketua Jabatan Pelaburan Sumber Manusia PETRONAS, Nelly Francis Shariah berkata, program VISTA adalah salah satu daripada inisiatif Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR)

PETRONAS menyokong usaha kerajaan menyediakan tenaga kerja mahir di dalam bidang Latihan Pendidikan Teknikal Dan Vokasional (TVET).

Program dimulakan sejak 1992 itu membabitkan penyediaan sokongan teknikal oleh Institut Teknologi Petroleum PETRONAS (INSTEP) untuk beberapa jurusan terpilih seperti kimpalan, pemasangan paip gas, penjana kuasa eletrik, penyelenggaraan bangunan serta bidang mekanikal, elektrikal dan automotif.

PETRONAS turut membekalkan peralatan keselamatan kegunaan pelajar seperti pakaian, sarung tangan keselamatan dan topeng keselamatan untuk spelajar setiap kali ambilan baharu.

Program VISTA bekerjasama dengan 14 institusi vokasional di seluruh negara termasuk Politeknik, Institut Kemahiran MARA, Giat MARA, Institut Latihan Perindustrian serta beberapa institut lagi di Sabah, Sarawak dan Terengganu. PETRONAS juga merancang untuk memperluaskan lagi penajaan VISTA ke Institut Kemahiran MARA (IKM) Besut, Terengganu dan IKM Jasin, Melaka.

Kabinet Malaysia 2020

Berita Harian X