Selasa, 9 Julai 2019 | 12:07pm
Dr Mahathir menyampaikan ucaptama pada Persidangan Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional (TVET) 2019 di Putrajaya, hari ini. - NSTP/Ahmad Irham Mohd Noor

Empat cadangan diterima bagi ambil alih Malaysia Airlines - PM

PUTRAJAYA: Kerajaan setakat ini menerima empat cadangan bagi pengambilalihan Malaysia Airlines Berhad (Malaysia Airlines), kata Tun Dr Mahathir Mohamad.

Perdana Menteri berkata, cadangan berkenaan masih dikaji dan ketika ini masih belum ada keputusan lagi.

“Tiada keputusan, banyak orang buat tawaran, ada yang nak beli ada yang nak urus saja.

“Kita sedang kaji cadangan-cadangan ini, ada banyak idea (cadangan), setakat ini terima empat cadangan, kebanyakan syarikat tempatan,” katanya kepada pemberita selepas ucaptama pada Persidangan Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional (TVET) 2019 di sini hari ini.

Ditanya bila kerajaan akan membuat keputusan, Dr Mahathir berkata kajian lebih teliti perlu dilakukan.

“Kita sudah tukar (pengurusan) banyak kali, tapi tidak jadi, kita kena cari sesiapa yang ada pengalaman,” katanya.

Ditanya sama ada kerajaan akan memilih syarikat tempatan untuk menguruskan Malaysia Airlines, Perdana Menteri berkata, ada kalanya pihak berkenaan rasa mereka berkemampuan.

“Kita pun banyak orang dulu (menguruskan MAS), namun semuanya tidak mampu,” katanya.

Baru-baru ini, dilaporkan Pengasas Bersama Kumpulan AirAsia Bhd, Datuk Pahamin Ab Rajab menzahirkan hasrat untuk ‘menyelamatkan’ Malaysia Airlines dengan cadangan pengambilalihan yang dikemukakan kepada Perdana Menteri.

Usaha Pahamin bersama-sama lima usahawan, yang namanya tidak didedahkan, bukan atas nilai komersial tetapi lebih kepada semangat cintakan negara di mana beliau juga komited tidak akan ada pembuangan pekerja sekiranya pengambilalihan itu berjaya.

Untuk rekod, syarikat penerbangan kebangsaan Australia, Qantas Airlines Ltd pernah bercadang untuk mengambil alih Malaysia Airlines sedekad yang lalu namun tidak berjaya berikutan tekanan yang diberikan oleh pihak kesatuan pekerja.

Syarikat penerbangan tambang rendah AirAsia juga hampir menjalinkan perjanjian pertukaran saham dengan Malaysia Airlines pada 2011 namun krisis dan campur tangan dalaman Malaysia Airlines dikatakan menjadi punca kepada kegagalan berkenaan.

Berita Harian X