Selasa, 9 Julai 2019 | 1:05pm
Jenazah Tengku Besar Putra Selangor, Tengku Ismail Shah Alhaj Ibni Almarhum Sultan Hisamuddin Alam Shah Alhaj, selamat dimakamkan di Makam Diraja Klang, jam 11.30 pagi tadi.

Ayahanda saudara Sultan Selangor selamat dimakamkan

KLANG: Jenazah Tengku Besar Putra Selangor, Tengku Ismail Shah Alhaj Ibni Almarhum Sultan Hisamuddin Alam Shah Alhaj, selamat dimakamkan di Makam Diraja Klang, jam 11.30 pagi tadi.

Almarhum adalah ayahanda saudara kepada Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah.

Sultan Sharafuddin Idris Shah berkenan mencemar duli menziarahi pemakaman dengan diiringi Tengku Laksamana Selangor, Tengku Sulaiman Shah.

Tengku Ismail Shah, 84, mangkat di Pusat Perubatan Subang Jaya, pada jam 8 malam tadi kerana sakit tua.

Jenazah sebelum itu tiba di Masjid Diraja Istana Alam Shah di sini pada jam 9.30 pagi kemudian dimandi, dikafan serta disembahyangkan seterusnya dibawa ke makam kira-kira jam 10 pagi.

Solat jenazah diimamkan Timbalan Mufti Selangor, Datuk Dr Anhar Opir.

Yang turut hadir menziarah adalah Menteri Besar Selangor, Amirudin Shari; Pengerusi Majlis Agama Islam Selangor (MAIS), Datuk Mohammed Khusrin Munawi dan Ketua Polis Selangor, Datuk Noor Azam Jamaludin.

Sementara itu, menurut laman sosial Facebook Royal Selangor Official semalam, Almarhum Tengku Ismail Shah berusia 84 tahun ketika mangkat.

Tengku Ismail Shah yang diputerakan pada 26 Jun 1935 adalah anakanda kepada Sultan Selangor yang ketujuh, Sultan Hisamuddin Alam Shah serta adinda kepada Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah.

Tamat

Kemelut Kerajaan

Berita Harian X