Selasa, 9 Julai 2019 | 2:19pm
Mohamaddin (dua dari kanan) menunjukkan dokumen perbandingan prestasi jumlah pelancong ke Malaysia pada tahun 2018 dan 2019 pada sidang media di Pusat Pelancongan Malaysia (MaTiC) di Kuala Lumpur, hari ini. - NSTP/Nurul Shafina Jemenon
Mohamaddin (dua dari kanan) menunjukkan dokumen perbandingan prestasi jumlah pelancong ke Malaysia pada tahun 2018 dan 2019 pada sidang media di Pusat Pelancongan Malaysia (MaTiC) di Kuala Lumpur, hari ini. - NSTP/Nurul Shafina Jemenon

Dana khas RM5 juta bantu industri pelancongan

KUALA LUMPUR: Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) memperuntukkan sebanyak RM5 juta sebagai dana khas Galakan Melancong Malaysia (GAMELAN) bagi membantu merancakkan industri pelancongan negara.

Menterinya, Datuk Mohamaddin Ketapi, berkata peruntukkan itu disalurkan kepada penggiat industri bagi meringankan kos perbelanjaan dalam mempergiatkan promosi dan pemasaran bertujuan menarik lebih ramai pelancong domestik dan antarabangsa.

Katanya, GAMELAN atau geran sepadan itu adalah secara pengembalian kewangan bagi tempoh Januari hingga Mei lalu, iaitu pemain industri boleh menuntut 50 peratus daripada jumlah perbelanjaan sebenar atau mengikut had maksimum ditetapkan bagi setiap kategori projek.

“Setiap penerima geran diberikan siling peruntukkan sebanyak RM200,000 bagi memastikan pengagihannya adil dan saksama.

“Mana-mana pihak yang menggunakan sepenuhnya siling peruntukkan untuk pelbagai projek mereka tidak akan dipertimbangkan,” katanya pada sidang media di Pusat Pelancongan Malaysia (MaTiC) di sini, hari ini.

Turut hadir Ketua Pengarah Tourism Malaysia, Datuk Musa Yusof; Timbalan Ketua Pengarah (Promosi) Tourism Malaysia, Datuk Mohmed Razip Hasan dan Timbalan Ketua Pengarah (Perancangan) Tourism Malaysia, Zulkifly Md Said.

Antara sektor yang dikenal pasti menerima peruntukkan khas ini ialah persatuan pelancongan, persatuan membeli-belah dan pengusaha Community Based Tourism (CBT) yang berdaftar atau diiktiraf, syarikat atau agensi pelancongan berdaftar dengan MOTAC serta pengusaha penginapan yang berdaftar dengan Jabatan Kastam Diraja Malaysia.

Beliau berkata, turut menerima dana berkenaan ialah persatuan dan kelab mempromosi minat khas (niche) seperti golf, burung, terjun skuba, memancing, majlis perkahwinan, berbasikal, memanjat gunung, luncur udara, sukan bermotor dan makanan (gourmet).

Tourism Malaysia adalah agensi pelaksana dan segala peruntukkan merangkumi penyertaan di dalam pameran pelancongan, misi jualan dan roadshow serta program perkhidmatan dan promosi Mesyuarat, Insentif, Konvensyen, Pameran (MICE) berkaitan pelancongan.

Beliau berkata, geran sepadan ini seperti diumumkan Menteri Kewangan semasa pembentangan Bajet 2019 yang lalu.

“Ia bukan pemberian ‘one off’ dan boleh dipohon sehingga mencapai peruntukkan siling, di mana Tourism Malaysia diberi tanggungjawab mengenal pasti siapa yang layak menerimanya.

“Malah, MOTAC turut menyambung dana khas ini sehingga Tahun Melawat Malaysia 2020 (TM2020),” katanya.

Dalam perkembangan lain, Mohamaddin berkata, prestasi ketibaan pelancong bagi Januari hingga Mei lalu meningkat sebanyak 4.8 peratus berbanding tempoh yang sama tahun lalu.

“Pasaran jarak dekat iaitu ASEAN mengekalkan penyumbang terbesar ketibaan pelancong asing iaitu 69.2 peratus meningkat 4.7 peratus. Singapura mencatatkan jumlah tertinggi ketibaan dengan 4,364,315 pelancong, diikuti Indonesia (1,476,625 orang), Thailand (829,787 orang), Brunei (521,113 orang) dan Filipina 171,656 orang.

“Pasaran jarak sederhana (Asia Timur) juga meningkat 7.5 peratus dengan jumlah ketibaan direkodkan sebanyak 2.3 juta membabitkan pelancong China, Korea Selatan, Jepun dan Taiwan. Manakala Asia Selatan (India dan Pakistan) turut menunjukkan peningkatan.

“Manakala pasaran jarak jauh membabitkan Eropah, Amerika Syarikat, Asia Barat, Afrika dan Russia menunjukkan penurunan 0.2 peratus. Ini disebabkan kekurangan penerbangan terus daripada negara berkenaan.

Justeru katanya, sokongan syarikat penerbangan tempatan serta asing amat diperlukan bagi menambah penawaran tempat duduk bagi penerbangan terus ke Malaysia.

FAKTA NOMBOR

• 10,954,014 pelancong datang ke Malaysia pada Januari hingga Mei 2019

• 10,454,447 orang bagi Januari hingga Mei 2018.

Berita Harian X