Selasa, 9 Julai 2019 | 4:48pm
KETUA Setiausaha Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Mohd Sallehuddin Hassan. NSTP/Muhd Zaaba Zakeria
KETUA Setiausaha Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Mohd Sallehuddin Hassan. NSTP/Muhd Zaaba Zakeria

Sasar 30 peratus pengurangan nilai sayuran import

MELAKA: Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani menyasarkan nilai import sayuran dapat dikurangkan sekurang-kurangnya 30 peratus atau RM1 bilion menerusi Rancangan Malaysia Ke-12 (RMKe-12) bermula tahun 2021.

Ketua Setiausahanya, Datuk Mohamad Sallehuddin Hassan, berkata nilai itu selaras perkembangan Revolusi Industri (IR 4.0) dan kajian Dasar Agro Makanan 2.0 berasaskan teknologi moden yang menjadi antara aspek ditekankan dalam RMKe-12.

“Defisit pertanian kita tahun lalu bernilai RM18.8 bilion, kita mengimport RM50.5 bilion barang makanan termasuk RM3.3 bilion sayuran.

“Dengan melaksanakan pertanian moden dalam RMKe-12, kita bukan sahaja boleh mengurangkan nilai import sayuran sekurang-kurangnya 30 peratus, malah boleh eksport semula jika ia bernilai tinggi,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menghadiri Simposium Sayuran Asia Tenggara (SEAVEG) 2019, di sini, yang dirasmikan Ketua Menteri, Adly Zahari.

Majlis simposium itu turut dihadiri Ketua Pengarah Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian (MARDI), Datuk Dr Mohamad Roff Mohd Noor, dan menghimpunkan peserta daripada pelbagai negara di Asia Tenggara selama tiga hari.

Mohamad Sallehudin berkata, kementerian mahu memfokuskan industri pertanian moden berikutan kekangan baharu seperti faktor usia, tanah dan tenaga kerja.

“Kaedah pertanian moden ini boleh menarik minat anak muda, kita mahu galakkan mereka tanam kubis bunga, lobak merah, salad, tomato dan ia boleh diusahakan di kontena, ruang kecil atau dalam bangunan terbengkalai.

“Anak muda boleh jana pendapatan sekurang-kurangnya RM7,000 sebulan jika dapat hasil tanaman dalam kontena, tak perlu kerja berat kerana semua bergantung pada sistem, hasil pun boleh dapat dalam 20 hari,” katanya kos teknologi pada permulaan agak tinggi, ketika ini.

Katanya, pemilihan Melaka sebagai lokasi penganjuran SEAVEG 2019 itu juga berikutan negeri itu sesuai dikembangkan sebagai pusat teknologi sayuran moden walaupun ia negeri kecil.

Berita Harian X