Selasa, 9 Julai 2019 | 6:53pm

Tambang e-hailing kekal munasabah - Loke

PETALING JAYA: Kerajaan akan memastikan kadar tambang e-hailing kekal munasabah walaupun beberapa persatuan e-hailing mendakwa ia akan naik sebaik tempoh pemandu e-hailing memohon lesen Lesen Vokasional (PSV-Teksi/E-hailing) berakhir, Jumaat ini.

Menteri Pengangkutan, Anthony Loke, berkata dakwaan itu hanya spekulasi dan kementeriannya bersama Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD) akan bekerjasama rapat dengan pengusaha e-hailing (eHO) bagi memantau kadar tambang.

“Ini semua spekulasi, tapi kami akan memerhati kemajuan di beberapa negara lain.

“Kita akan memerhati perkembangan dan perubahan di sekeliling kita,” katanya pada sidang media selepas menyerahkan lesen PSV kepada beberapa pemandu orang kelainan upaya (OKU) di sini, hari ini.

Loke berkata, kerajaan tidak akan mencampuri pasaran e-hailing kerana peranan kerajaan hanya untuk memantau dan memastikan kadar tambang kekal munasabah.

Presiden Malaysia E-hailing Drivers Association (MEHDA), Daryl Chong, dilaporkan berkata, berikutan penguatkuasaan syarat lesen PSV, pemandu sambilan perkhidmatan itu akan berkurangan.

Sempena majlis penyerahan lesen PSV kepada pemandu e-hailing kategori OKU hari ini, seramai 209 daripada 367 orang pemandu berjaya dalam sesi ujian teori yang dijalankan pada 1 Julai lalu.

Mereka adalah pemandu Grab, DACSEE, EzCAB dan MyCar.

Loke berkata, kejayaan pemandu e-hailing OKU itu membuktikan kelainan upaya bukan penghalang sebaliknya motivasi dan pemangkin semangat untuk terus berjaya.

“Oleh itu, pihak kerajaan amat berharap semua pemandu e-hailing mengambil perhatian serius untuk mendapatkan lesen PSV bagi mengelak diambil tindakan setelah penguatkusaan dilaksanakan,” katanya. – BERNAMA

Menteri Pengangkutan, Anthony Loke menyampaikan lesen kepada penerima Orang Kelainan Upaya (OKU) pada Majlis Penyerahan Lesen Kenderaan Pengangkutan Awam (PSV) kepada pemandu E-hailing di First Avenue, Petaling Jaya hari ini. - Foto BERNAMA
Berita Harian X