Selasa, 9 Julai 2019 | 7:21pm
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail (kiri) mengadakan kunjungan hormat ke atas Naib Presiden China, Wang Qishan di Zhongnanhai sempena lawatan rasmi ke negara itu, hari ini. - Foto AFP

Wan Azizah temui Naib Presiden China

BEIJING: Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail, yang kini dalam rangka lawatan rasmi empat hari ke China bermula semalam, melakukan kunjungan hormat terhadap Naib Presiden China, Wang Qishan, di Zhongnanhai di sini, hari ini.

Dr Wan Azizah tiba pada 9.25 pagi (sama waktu di Malaysia) dan kedua-dua pemimpin membincangkan pelbagai isu yang mempunyai kepentingan bersama dalam pertemuan itu.

Dr Wan Azizah dan rombongan beliau tiba di ibu negara China ini pada 3.20 petang semalam.

Ini adalah lawatan rasmi sulung beliau ke China sejak mengangkat sumpah sebagai Timbalan Perdana Menteri pada 21 Mei tahun lalu susulan kemenangan Pakatan Harapan dalam Pilihan Raya Umum lalu.

Dr Wan Azizah yang juga Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat kemudian mengadakan pertemuan dua hala dengan Naib Perdana Menteri China, Sun Chunlan yang bertanggungjawab bagi Jawatankuasa Kerja Kebangsaan mengenai Kanak-Kanak dan Wanita di bawah Majlis Negara.

Pada mesyuarat itu, mereka berbincang mengenai usaha yang berterusan untuk memperkukuhkan hubungan Malaysia-China selain tindakan susulan mengenai keputusan yang dicapai semasa lawatan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad, pada Ogos 2018 dan April 2019.

Turut dibincangkan ialah kerjasama dua hala dalam bidang pendidikan, komoditi pertanian, pertanian, pembangunan wanita selain pelancongan dan kebudayaan.

Pada sebelah petang, Dr Wan Azizah dijadual melawat Masjid Dongsi dan bertemu dengan wakil-wakil masyarakat Islam China dan kepimpinan masjid.

Hari kedua lawatan Dr Wan Azizah akan diakhiri dengan pertemuan dengan pengarah Jabatan Perhubungan Antarabangsa Parti Komunis China (CPC), Song Tao, diikuti jamuan makan malam anjuran beliau.

Turut mengiringi, Dr Wan Azizah dalam lawatan itu ialah Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun; Menteri Pendidikan, Dr Maszlee Malik; Timbalan Menteri Luar, Datuk Marzuki Yahya; dan Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Sim Tze Tzin. – BERNAMA

Kemelut Kerajaan

Berita Harian X