Rabu, 10 Julai 2019 | 12:13pm
PERDANA Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad ketika berucap pada Persidangan Dewan Rakyat di Parlimen. - Foto BERNAMA

PM yakin pindaan Perlembagaan Persekutuan dapat sokongan dua pertiga

KUALA LUMPUR: Tun Dr Mahathir Mohamad berkata, kerajaan yakin mendapat sokongan dua pertiga Ahli Parlimen bagi pindaan Perlembagaan Persekutuan untuk menurunkan had usia pengundi kepada 18 tahun yang akan dibentang dan dibahaskan minggu depan.

Perdana Menteri berkata, ia kerana pembangkang memberi jaminan untuk menyokong usul itu, selepas kerajaan bersetuju untuk turut membuat pindaan bagi membolehkan individu berusia 18 tahun didaftarkan secara automatik sebagai pemilih.

Beliau berkata, kerajaan turut bersetuju dengan cadangan pembangkang untuk turut membuat pindaan bagi menurunkan had usia calon pilihan raya kepada 18 tahun.

“Pada bacaan kali pertama sebelum ini, usul pindaan itu hanya sebut mengenai hak individu berusia 18 tahun untuk mengundi, tetapi kita tidak masukkan sama ada nama mereka terdaftar secara automatik (sebagai pengundi).

“Permintaan (pembangkang) ialah supaya nama (individu berusia 18 tahun) masuk ke dalam senarai daftar pemilih secara automatik, dan boleh menjadi calon pilihan raya pada usia 18 tahun.

“Pada pertemuan dengan Ahli Parlimen pembangkang hari ini, mereka semua memberi pengakuan akan menyokong pindaan ini setelah ditambah daftar pemilih automatik dan hak menjadi calon pilihan raya pada usia 18 tahun.

“Kita yakin (mendapat sekurang-kurangnya dua pertiga undi di Dewan Rakyat). Takkan mereka (pembangkang) nak tipu saya,” katanya pada sidang media di lobi Parlimen, hari ini, yang turut dihadiri beberapa Ahli Parlimen pembangkang.

Terdahulu hari ini, kerajaan menarik balik dua Rang Undang-Undang (RUU), iaitu RUU Perlembagaan (Pindaan) 2019 dan RUU Majlis Keselamatan Negara (Pindaan) 2019 di Dewan Rakyat.

RUU Perlembagaan (Pindaan) 2019 itu dijangka dibentangkan semula esok untuk bacaan kali pertama, dengan memasukkan pindaan mengenai daftar pemilih automatik dan menurunkan had usia calon pilihan raya.

Bacaan kali kedua dan perbahasan dijangka pada 16 Julai depan.

Pada 4 Julai lalu, Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman membentangkan RUU Perlembagaan (Pindaan) 2019 di Dewan Rakyat, bagi menurunkan had usia mengundi daripada 21 kepada 18 tahun.

Sementara itu, Ketua Pembangkang, Datuk Seri Ismail menzahirkan penghargaan kepada Perdana Menteri yang sudi mempertimbang dan menerima cadangan mereka dalam pindaan berkenaan.

“Oleh kerana kerajaan bersetuju dengan cadangan kita, pastinya pembangkang akan menyokong usul pindaan Perlembagaan yang akan dibentangkan esok,” katanya.

Beliau berkata penarikan balik RUU pindaan Perlembagaan Persekuuan berkaitan penurunan had usia mengundi itu menunjukkan kerajaan serius dalam hal itu.

“Dari segi penguatkuasaannya akan dibincangkan secara bersama kemudian,” katanya.

Berita Harian X