Rabu, 10 Julai 2019 | 2:10pm
MENTERI Dalam Negeri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

20 mesin pengimbas kargo dalam proses perolehan - Muhyiddin

PUTRAJAYA: Peruntukan sebanyak RM300 juta disediakan Kementerian Kewangan bagi membeli 20 mesin pengimbas kargo.

Menteri Dalam Negeri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, berkata pembelian yang kini dalam proses perolehan itu antara beberapa perkara dipersetujui dalam Mesyuarat Jawatankuasa Bertindak Penguatkuasaan Undang-Undang (JPU) Bil 1/2019 yang dipengerusikannya hari ini.

Beliau berkata, satu kertas pertimbangan dan tiga kertas makluman dibincangkan dalam mesyuarat merangkumi isu Cadangan Pindaan Akta Penagih Dadah (Rawatan dan Pemulihan) 1983, Status Cadangan Pengasingan Banduan Kesalahan Dadah di Jabatan Penjara Malaysia dan Projek Rintis Menangani Masalah Penagihan Dadah dan Pelencongan Sosial oleh Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK).

Katanya, antara yang turut dipersetujui ialah Kementerian Kesihatan sedang dalam tindakan membuat pindaan berhubung kesalahan berkaitan ketum yang dijangka akan dibentangkan dalam sesi Parlimen akan datang.

“Selain itu kesalahan berkaitan dadah dikeluarkan daripada didaftarkan dalam Senarai Pendaftaran Penjenayah dan Orang Tidak Diingini seperti terkandung dalam Akta Pendaftaran Penjenayah dan Orang Tidak Diingini 1969 (Akta 7).

“Cadangan Pindaan Akta Penagih Dadah (Rawatan dan Pemulihan) 1983 termasuk mendefinasi semula penagih dan pengguna dadah, menyemak semula kuasa-kuasa Ketua Pengarah AADK berhubung pengendalian Pusat Pemulihan Penagihan Dadah Persendirian (PPDP).

“Cadangan pewujudan kluster banduan penagih dadah ini diadakan di 14 institusi penjara dengan 19 blok penempatan dengan anggaran kapasiti seramai 9,500 orang banduan penagih dadah pada satu-satu masa daripada kes sabitan Seksyen 15(1), Akta Dadah Berbahaya 1952 dengan anggaran kos keseluruhan RM285 juta,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau berkata, turut dipersetujui iaitu pelaksanaan projek perintis AADK dalam menangani masalah penagihan dadah dan pelencongan sosial di 12 kawasan dalam negara.

“Kawasan itu meliputi Kedah (Pulau Langkawi, FELDA Lubuk Merbau dan Kuala Kedah); Selangor (Flat Sri Mentari Petaling, Sungai Besar Sabak Bernam dan FELDA Gugusan Hulu Selangor); Johor (Johor Bahru (Perling/Tampoi/Skudai) dan Parit Sulong Batu Pahat); Kelantan (Pengkalan Chepa); Terengganu (Kuala Dungun); Kuala Lumpur (PPR Sungai Bonus) dan Pahang (FELDA Keratong 3).

“Kawasan projek rintis yang dikenal pasti ini membabitkan kawasan yang terletak di dalam kawasan berisiko tinggi dan sejajar dengan usaha menangani penagihan dadah dan pelencongan sosial yang dijalankan secara bersepadu.

“Projek yang dijalankan akan dijadikan model untuk diperluaskan di seluruh negara sejajar dengan matlamat Dasar Dadah Negara,” katanya.

Selain itu katanya, satu jawatankuasa kerja diwujudkan untuk merangka kempen mencegah penyalahgunaan dadah yang akan diterajui AADK membabitkan semua peringkat termasuk kerajaan negeri.

Kempen di peringkat kebangsaan akan dilancarkan Perdana Menteri.

Muhyiddin berkata, kerajaan memandang serius isu penyalahgunaan dadah dan menyedari mengenai kekangan AADK daripada segi fasiliti dan kekurangan tenaga kerja dalam memberi perkhidmatan kepada pelanggan.

“Ini berdasarkan nisbah yang amat tinggi berhubung bilangan Pegawai Antidadah berbanding klien dalam komuniti iaitu 1:200 berbanding 1:25 mengikut Piawaian Antarabangsa.

“Perkara ini akan diberi perhatian oleh pihak kementerian,” katanya.

Berita Harian X