Rabu, 10 Julai 2019 | 3:28pm
PENGARAH Institut Penyelidikan Bioteknologi UMS, Dr Zarina Amin. - Foto Malai Rosmah Tuah
PENGARAH Institut Penyelidikan Bioteknologi UMS, Dr Zarina Amin. - Foto Malai Rosmah Tuah

UMS kaji hasilkan ubat anti tibi

Kota Kinabalu: Pakar bioteknologi Universiti Malaysia Sabah (UMS) kini dalam usaha untuk menghasilkan bahan anti tuberkulosis (tibi) bagi membantu menangani penularan penyakit itu di Sabah.

Pengarah Institut Penyelidikan Bioteknologi UMS, Dr Zarina Amin, berkata penyelidikan untuk menghasilkan bahan asas untuk membuat ubat bagi penyakit berkenaan dilakukan dengan kerjasama pakar dari Swiss German University (SGU) Jakarta, Indonesia.

Beliau berkata, penyelidikan berkenaan dibiayai menerusi pemberian geran sepadan UMS bernilai RM200,000 selain RM200,000 lagi disumbangkan SGU untuk tempoh selama dua tahun bermula tahun ini.

“Kerjasama UMS dan SGU untuk menjalankan penyelidikan bagi mencari ubat untuk penyakit tibi bermula selepas Simposium Bioteknologi Antarabangsa anjuran UMS pada tahun lalu.

“Kita memilih penyelidikan untuk tibi kerana mahu membantu menyelesaikan masalah jangkitan penyakit itu yang masih tinggi di Sabah berbanding negeri lain dan kita berharap usaha ini akan membuahkan hasil,” katanya selepas Majlis Perasmian Simposium Bioteknologi Antarabangsa Keenam yang dirasmikan Timbalan Menteri Tenaga, Sains, Teknologi, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim, Isnaraissah Munirah Majilis, di sini, hari ini.

Dr Zarina berkata, UMS memiliki kemudahan yang lengkap untuk penyelidikan bioteknologi termasuk makmal keselamatan bio bagi membolehkan kajian terhadap penyakit berjangkit atau berbahaya dijalankan dengan selamat.

Katanya, penyelidikan untuk menghasilkan ubat penyakit tibi juga sejajar dengan komitmen UMS untuk memanfaatkan bidang bioteknologi bagi menghasilkan bahan yang bermanfaat kepada masyarakat, khususnya penduduk negeri ini.

“Kita berharap menerusi penyelidikan ini, kita dapat menghasilkan bahan untuk ubat anti tibi. Setakat ini, projek itu berjalan dengan baik dan minggu depan saya dan seorang lagi ahli mikrobiologi akan memulakan kajian di makmal,” katanya.

Mengenai simposium berkenaan, beliau berkata, ia satu adalah satu usaha yang diambil UMS untuk membawa pakar bioteknologi ke negeri ini bagi berkongsi pengetahuan dan kepakaran masing-masing.

Katanya, selain kerjasama dengan universiti dari Indonesia, UMS juga menjalin kerjasama dengan universiti dari Jepun bagi menjalankan beberapa penyelidikan lain berkaitan bioteknologi.

Berita Harian X