Rabu, 10 Julai 2019 | 8:30pm
MENTERI Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail. - Foto Mohamad Shahril Badri Saali

Waspada peniaga 'PM Tepi' elak tertipu

KUALA NERANG: Orang ramai diingatkan supaya berhati-hati membeli produk dan perkhidmatan secara dalam talian yang ditawarkan peniaga tidak berdaftar dengan Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) yang menggunakan kaedah ‘PM Tepi’ bagi mengelak tertipu.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail, berkata peniaga terbabit didapati menggunakan semua platform media sosial untuk menjalankan perniagaan masing-masing.

“Saya menasihati pengguna supaya selidik dan pastikan peniaga menawarkan barangan dan perkhidmatan menerusi laman yang betul-betul wujud.

“Bagaimanapun, ia tidak termasuk dengan platform e-dagang seperti Shopee, Lelong dan Lazada kerana semuanya beroperasi secara sah.

“Sebaliknya, peniaga jenis ‘PM Tepi’ perlu diberikan perhatian kerana mereka menggunakan semua platform media sosial untuk berniaga dan dikhuatiri pelanggan akan tertipu dengan tawaran diberikan,” katanya.

Beliau bercakap pada sidang media selepas menghadiri Majlis Anugerah Kecemerlangan di Sekolah Menengah Kebangsaan Sungai Nerang di sini, hari ini.

Saifuddin Nasution berkata peniaga berdaftar di bawah BizTrust menerusi SSM diyakini tidak akan melakukan penipuan dan pelanggan boleh menjalankan urus niaga dengan penuh keyakinan.

“SSM bertanggungjawab untuk memastikan syarikat berdaftar tidak akan memperdayakan pelanggan dalam talian,” katanya.

Mengulas lanjut, beliau berkata setiap aduan yang disiasat kementerian memerlukan prasyarat, yang mana notis perlu dihantar secara fizikal kepada penjual yang didakwa melakukan kesalahan itu.

Katanya, kementerian berdepan dengan kesulitan kerana perlu mencari dan mengesan penjual terbabit kerana semuanya bergerak secara atas talian.

“Justeru, Rang Undang-Undang (RUU) Perlindungan Pengguna (Pindaan) 2019 yang diluluskan, kelmarin bertujuan meluaskan kuasa Tribunal Tuntutan Pengguna (TTP) dengan menaikkan jumlah tuntutan daripada RM25,000 kepada RM50,000.

“Kenaikan tuntutan itu juga saya anggap efektif kerana jumlah kes yang tertangguh amat sedikit membuatkan pelanggan rasa selamat dan dilindungi,” katanya.

Berita Harian X