Khamis, 11 Julai 2019 | 6:20pm
MENTERI Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad hadir pada majlis pelancaran Program Ikon Gigi Orang Asli (iGG-OA) Peringkat Kebangsaan 2019 anjuran Kementerian Kesihatan dan Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA) di Kampung Menderang, Sungkai, hari ini. - Foto Muhaizan Yahya
MENTERI Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad hadir pada majlis pelancaran Program Ikon Gigi Orang Asli (iGG-OA) Peringkat Kebangsaan 2019 anjuran Kementerian Kesihatan dan Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA) di Kampung Menderang, Sungkai, hari ini. - Foto Muhaizan Yahya

Suntikan perancang untuk bebaskan Orang Asli daripada anemia

SUNGKAI: Suntikan perancang keluarga ke atas masyarakat Orang Asli dibuat atas dasar menyelamatkan wanita daripada anemia atau kurang darah merah ketika hamil.

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad, berkata langkah itu diambil atas rasa tanggungjawab kerana sangat penting untuk mengelakkan wanita daripada anemia atau kurang darah merah ketika hamil.

“Kita (kementerian) mengambil tindakan ini atas dasar tanggungjawab untuk menyelamatkan mereka dan supaya tidak mengalami anemia ketika hamil.

“Ini adalah satu langkah berjaga-jaga yang sangat penting untuk kita lakukan demi menyelamatkan kelahiran.

“Ini pun kita bukan buat selamanya dan dibuat dalam tempoh dua tahun, apabila pemulihan berlaku kita akan menghentikan dan menggalakkan semula mereka (untuk hamil), paling penting adalah tindakan untuk menjaga keselamatan wanita,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas melancarkan Program Ikon Gigi Orang Asli (iGG-OA) Peringkat Kebangsaan 2019 anjuran Kementerian Kesihatan dan Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA) di Kampung Menderang di sini, hari ini.

Semalam, sebuah portal berita melaporkan suntikan perancang keluarga yang didakwa diberikan oleh kakitangan Kementerian Kesihatan kepada wanita Orang Asli didakwa memberi kesan sampingan yang teruk.

Suntikan bagi mengawal kelahiran itu mengandungi hormon progestin yang menghalang kehamilan yang tidak dirancang selama tiga bulan pada satu-satu masa.

Dalam perkembangan lain, Dr Dzulkefly berkata, Kementerian Kesihatan menyerahkan sepenuhnya siasatan berhubung kes seorang lelaki yang menyamar sebagai doktor dan membuat gangguan seksual kepada 21 wanita sejak beberapa bulan kepada pihak berkuasa.

Beliau berkata, pihaknya tidak akan berkompromi dengan isu berkaitan doktor palsu di media sosial.

Kabinet Malaysia 2020

Berita Harian X