Khamis, 11 Julai 2019 | 6:27pm
Lantikan Rania Zara Medina sebagai AJK dalam Mekanisma Penyelarasan Negara (CCM) mematuhi peraturan.
Lantikan Rania Zara Medina sebagai AJK dalam Mekanisma Penyelarasan Negara (CCM) mematuhi peraturan.

Tiada keperluan kaji semula lantikan Rania Zara

SUNGKAI: Tiada keperluan untuk mengkaji semula lantikan Ratu Trans Women 2017, Rania Zara Medina sebagai Ahli Jawatankuasa (AJK) dalam Mekanisma Penyelarasan Negara (CCM) kerana ia mematuhi peraturan.

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad, berkata amalan lantikan itu berlaku sejak pentadbiran terdahulu dan ia dibuat mengikut prosedur operasi standard (SOP).

“Kita tidak perlu buat apa-apa kajian, kerana yang pastinya cara itu datang daripada kelompok transgender dan itu adalah amalan lantikan sejak berzaman daripada pentadbiran terdahulu.

“Saya difahamkan, segalanya dalam peraturan dan ia mengikut SOP, ia satu peraturan yang sangat baik, melalui proses yang sangat cermat dan teliti, jadi tidak ada apa-apa isu kerana segalanya mengikut peraturan,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas melancarkan Program Ikon Gigi Orang Asli (iGG-OA) Peringkat Kebangsaan 2019 anjuran Kementerian Kesihatan dan Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA) di Kampung Menderang di sini hari ini,

Yang turut hadir, Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Hal Ehwal Pengguna, Integrasi Nasional dan Sumber Manusia negeri, A Sivanesan dan Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA), Prof Dr Juli Edo.

Dr Dzulkefly berkata demikian ketika diminta mengulas kemungkinan terdapatnya kajian semula terhadap lantikan Rania Zara selepas bantahan beberapa pihak tertentu.

“Sebagai kerajaan yang terbuka, semua orang boleh memberi cadangan dan kita akan mempertimbangkan, tetapi untuk hari ini apa yang saya katakan lantikan itu dibuat dengan cara yang begitu teliti dan mematuhi peraturan serta mengikut SOP,” katanya.

Media sebelum ini melaporkan pelantikan Rania Zara sebagai AJK dalam CCM Malaysia di bawah Kementerian Kesihatan adalah sah dan mengikut prosedur sedia ada.

Timbalan Menteri Kesihatan, Dr Lee Boon Chye sebelum ini dilaporkan berkata, pelantikan itu berdasarkan wakil masyarakat penduduk sasar dipilih dalam kalangan penduduk berkenaan dan disahkan melalui surat lantikan oleh beliau sendiri.

Melalui laporan itu, beliau berkata penduduk sasar ini termasuk mereka yang tergolong dalam kategori transgender, hubungan seks lelaki bersama lelaki (men-sex-with-men), pekerja seks wanita, penagih dadah dan orang yang hidup dengan HIV/AIDS (PLHIV).

Berita Harian X