Jumaat, 12 Julai 2019 | 6:00am
Ketua Pegawai Eksekutif MYNIC, Datuk Hasnul Fadhly Hasan (tiga dari kanan) bersama Ketua Pegawai Eksekutif CentralNic, Benjamin Peter Crawford (empat dari kanan) bergambar beramai-ramai selepas Majlis Menandatangani Kerjasama Strategik MYNIC dan CentralNic, di Menara Cyber Axis di Cyberjaya, baru-baru ini. - NSTP/Luqman Hakim Zubir

MYNIC naik taraf domain .my, pacu ekonomi digital

CYBERJAYA: Kelebihan memiliki nama domain (DN) mampu memberi impak terhadap perniagaan dari segi pasaran luas, jaminan keselamatan dan penjenamaan serta pencarian lebih pantas di Internet.

Pada kebiasaannya, pengguna Internet melihat alamat sesawang yang diakhiri ‘.com’ sebagai satu capaian umum, namun nama domain ‘.my’ yang dikendalikan oleh MYNIC mempunyai kelebihan tersendiri yang tidak disedari oleh pengguna.

Pada zaman era ekonomi digital kini, pelbagai faedah bakal diperoleh oleh rakyat dengan memanfaatkan .my sebagai identiti pilihan mereka.

Pemilihan nama domain ‘.my’ bakal memberikan impak yang baik terhadap perniagaan dalam talian mereka.

MYNIC sebagai pendaftar dan pentadbir nama domain ‘.my’ memainkan peranan penting dalam memacu ekonomi digital, dengan memastikan pengguna menerima manfaat melalui penggunaan nama domain ‘.my’.

Sebagai agensi di bawah Kementerian Komunikasi dan Multimedia dan dikawal selia oleh Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM), MYNIC komited memastikan nama domain ‘.my’ diyakini oleh penggunanya dengan menaiktaraf Sistem Nama Domain (DNS).

Untuk tujuan itu, usaha berterusan dilaksanakan MYNIC, termasuk menjalin kerjasama strategik dengan CentralNIC bagi membangunkan DNSSEC Managed Services dan DNS Anycast.

CentralNic adalah peneraju nama domain di peringkat dunia untuk domain peringkat tinggi umum (gTLD) dan domain peringkat tertinggi kod negara domain (ccTLD) serta domain tahap kedua (SLD).

Majlis Menandatangani Kerjasama Strategik MYNIC dan CentralNic diadakan di Ibu Pejabat MYNIC, di Menara Cyber Axis Cyberjaya, baru-baru ini.


Ketua Pegawai Eksekutif MYNIC, Datuk Hasnul Fadhly Hasan bertukar dokumen dengan Ketua Pegawai Eksekutif CentralNic, Benjamin Peter Crawford selepas Majlis Menandatangani Kerjasama Strategik MYNIC dan CentralNic, di Menara Cyber Axis di Cyberjaya, baru-baru ini. - NSTP/Luqman Hakim Zubir

MYNIC diwakili Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Hasnul Fadhly Hasan, manakala CentralNic diwakili Ketua Pegawai Eksekutif CentralNic Ptd, Benjamin Peter Crawford.

Hasnul Fadhly berkata, dengan adanya DNSSEC Managed Services, sistem pengesahan nama Domain yang lebih ketat dan perlindungan integriti data dapat dibuat.

Beliau berkata, ia dapat mengelakkan sebarang modifikasi terhadap nama domain ‘.my’ daripada pihak yang tidak bertanggungjawab, manakala dengan membangunkan sistem Anycast DNS pula, ia dapat mengurangkan kesan serangan DDos, sekaligus dapat meningkatkan prestasi ketersediaan laman web yang menggunapakai domain ‘.my’, yang membolehkan ia mudah dan lebih pantas diakses.

“Usaha MYNIC menaiktaraf sistem sokongan nama domain ’.my’ dengan kerjasama CentralNic, yang mempunyai kepakaran dalam mencapai standard di peringkat global, bakal memberi manfaat kepada hampir 400,000 pengguna nama domain ‘.my’.

“Kami mahu menyediakan negara untuk masa depan digital. MYNIC terbuka dan sentiasa berusaha menjalankan inovasi digital untuk menyediakan teknologi sokongan serba lengkap kepada pengguna nama domain ‘.my’ supaya mereka sentiasa bersedia mengharungi cabaran global dalam ekonomi digital,” katanya.

Selain itu, Hasnul Fadhly berkata, MYNIC juga akan berusaha untuk membolehkan serta memperkasakan perniagaan dan industri untuk menjadi sebahagian daripada ekonomi digital menerusi pembangunan industri nama domain sebagai sebahagian daripada infrastruktur teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) di negara ini.

Berita Harian X