Ahad, 14 Julai 2019 | 5:42pm
Rumah sebuah keluarga Orang Asli yang pernah kehilangan anak gadis mereka tahun lalu lari bersama lelaki warga asing sebelum ditemui semula dua hari kemudian di Kampung Sendrop. - NSTP/Ramli Ibrahim
Rumah sebuah keluarga Orang Asli yang pernah kehilangan anak gadis mereka tahun lalu lari bersama lelaki warga asing sebelum ditemui semula dua hari kemudian di Kampung Sendrop. - NSTP/Ramli Ibrahim

Masyarakat Orang Asli bimbang anak gadis dipikat warga asing

GUA MUSANG: “Anak gadis saya pernah dilarikan lelaki warga asing yang bekerja di ladang sayur berhampiran rumah hingga terpaksa melancarkan operasi mencari.”

Sejak kejadian itu, Sani Along, 44, penduduk Orang Asli suku Temiar di Kampung Sendrop, Lojing, dekat sini, menyifatkan anak gadis Orang Asli tidak lagi selamat kerana menjadi ‘buruan’ lelaki warga asing.

Katanya, anaknya yang berusia 17 tahun dilarikan lelaki warga asing tahun lalu dan hanya ditemui dua hari selepas kejadian.

Berikutan itu, katanya, kebanyakan ibu bapa kaum berkenaan tidak lagi membenarkan anak gadis mereka berkeliaran di kawasan kebun sayur bagi mengelak ‘dipikat’ warga asing terbabit.

“Memang ada kita dapat maklumat lelaki warga asing yang bekerja di ladang sayur cuba gadis anak Orang Asli untuk menjadi isteri sementara sebelum pulang ke negara asal,” katanya ketika ditemui, semalam.

Apa yang menyedihkan, katanya, ada gadis Orang Asli berkahwin dengan lelaki warga asing dan mendapat cahaya mata sebelum ditinggalkan tanpa nafkah.

Katanya, kebanyakan lelaki warga asing itu adalah warga Bangladesh, Pakistan dan Indonesia yang dikesan semakin ramai bekerja di ladang sayuran berhampiran penempatan Orang Asli.

Semalam, BH mendedahkan pembukaan kawasan pertanian komersial khususnya sayur-sayuran berhampiran perkampungan Orang Asli di Cameron Highlands menjadikan gadis kaum minoriti itu sasaran manipulasi warga asing.

Mereka didakwa menjadikan gadis Orang Asli sebagai isteri, semata-mata untuk dijadikan penama dalam usaha memohon lesen niaga atau bantuan kerajaan yang dikhususkan kepada kaum berkenaan.

Penghulu Kampung Sendrop, Andol Busu Jamin, berkata masalah sama turut berlaku di perkampungan kaum Orang Asli sekitar Lojing di Kelantan.

Berikutan itu, katanya, ibu bapa kaum terbabit bimbang anak gadis mereka diganggu lelaki warga asing termasuk dijanjikan pelbagai janji manis untuk berkahwin.

Berita Harian X